Pemergiaan pengarah tersohor Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Bin Mohamad Khalid sekitar pukul 12.30 malam tadi meninggalkan impak yang besar dalam industri seni tempatan.

Ramai rakan seperjuangan yang berduka malah menzahirkan salam takziah serta mencoretkan kenangan bekerja serta kebaikan Allahyarham yang disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung di Hospital Slim River.

Antaranya adalah aktor Que Haidar yang menceritakan pengalaman pertama dirinya ‘terjebak’ berlakon di dalam naskhah naskhah besar arahan Mamat termasuk di dalam rantaian filem Rock.

“Antara director terawal yang mengesan bakat saya. Bermula dengan satu commercial Putrajaya dan seterusnya menghadiahkan saya Amy Mat Piah juga Deris. Al fatihah untuk Abang,” cuit Que Haidar di akaun Twitterrnya.



Tidak ketinggalan, Harith Iskander juga melalui ciapannya menyifatkan Allahyarham sebagai ‘tentera sejati’ yang cukup kreatif dalam dunia perfileman tempatan.

“Seorang legenda yang layak menerima penghormatan,” ujar Harith lagi.

Bagi Sharifah Aleeya yang terbabit dalam filem Man Laksa, dia mengucapkan terima kasih kepada Allahyarham yang memberinya peluang dan memperkenalkan watak Chah di dalam filem tersebut.

“Dialah orang yang bertanggungjawab mencipta karakter yang cukup mengesankan. Terima kasih kerana meminjamkan watak Chah, Abang Mamat,” tulisnya di Twitter.



Terdahulu, Allahyarham yang terkenal dengan karya seperti Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah, telah rebah di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim.

Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia pada usia 58 tahun.

Jenazah Allahyarham akan disembahyang dan dijangka dikebumikan di Masjid Kampung Paloh, Ipoh, Perak sekitar selepas Zohor.

Keluarga Allahyarham juga meminta jasa baik agar pihak yang datang menziarah tidak merakam video dan gambar demi menjaga privasi dan sensitiviti mereka yang sedang berduka.

Kredit Foto: Kosmo