Nama pesohor Datuk Ramli MS menjadi hangat beberapa minggu kebelakangan ini gara gara ramai yang mengesyaki karakter naga Sang Bara dalam Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) adalah dirinya.

Selain peminat, teka teki mengenai identiti sebenar Sang Bara juga dibawa sehingga ke pentas Gegar Gavanza apabila hos, Nabil Ahmad mengasak Ramli MS yang mesra dengan panggilan Tok Ram sebagai individu yang berselindung di sebalik maskot naga tersebut.

Biarpun sempat menafikan dirinya bukan Sang Bara pada malam tersebut, namun masih ramai yang tidak berpuas hati dan berasa suami penyanyi Datin Alyah itu cuba menyembunyikan fakta tersebut.

Tok Ram yang dihubungi Gempak kemudian memberi komen terhadap andaian yang dibuat oleh penonton mengenai dirinya adalah Sang Bara.

“Dari segi mana naga tu saya?” tanya Tok Ram menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp.

Apabila dikatakan mungkin dari segi penampilan dan suaranya yang tegas serta lemparan kritikan yang pedas, Tok Ram secara berseloroh mengatakan: “Kan saya dah kata bukan saya. Nak saja saya carut ke.”

Diasak lagi mungkin Tok Ram berahsia kerana masih mempunyai komitmen dan perjanjian yang telah dipersetujui, komposer tersebut menjawab dengan tegas.

“Bukan saya,” katanya ringkas.

Untuk informasi, Sang Bara adalah karakter Naga yang menjadi juri kelima dapat pertandingan MLM 2021 yang masih berlangsung di Astro Warna.

Karakter Sang Bara menjadi bualan kerana kelantangan komen dan sikapnya yang kedekut memberi markah iaitu HA kepada para peserta sehingga sering menimbulkan rasa kurang senang dari juri tetap yang lain seperti Datuk Rosyam Nor.