Bersempena bulan Ramadan tahun ini, pihak Les' Copaque Production dan Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur telah bekerjasama dengan menawarkan pengalaman berbuka puasa bertemakan kampung Upin & Ipin.

Upin & Ipin Kampung In The City ini merupakan tarikan terbaharu di HYdeout Grand Hyatt Kuala Lumpur yang pastinya memberi pengalaman menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Pengarah Urusan dan Penerbit Les’ Copaque Production, Haji Burhanuddin Md Radzi berkata ini merupakan satu kerjasama yang istimewa untuk tema baharu HYdeout kerana mampu menghidupkan elemen Upin dan Ipin di luar skrin.

“Ini merupakan salah satu kolaborasi yang membanggakan untuk kami dapat bersama Grand Hyatt untuk menghidupkan nostalgia kampung dengan menikmati makanan tradisi warisan bersama Upin dan Ipin.

“Kami harap pengalaman unik yang ditawarkan ini dapat memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak yang juga merupakan peminat Upin dan Ipin,” katanya.

A post shared by Grand Hyatt Kuala Lumpur (@grandhyattkualalumpur)

Upin & Ipin Kampung In The City menawarkan bufet makan sepuasnya, permainan interaktif dan juga hiburan seperti permainan tradisional, lukisan wau, gerai carnival, dinding 3D, tayangan filem dan banyak lagi.

Lebih istimewa lagi, anak-anak juga dapat bertemu dengan Upin dan Ipin secara langsung.

Upin & Ipin Kampung In The City akan berada sepanjang bulan Ramadan iaitu sehingga 30 April 2022.

Untuk maklumat menempah layari https://www.hydeout.com.my/

Untuk info, Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur telah memperkenalkan bufet bertema mesra keluarga pertama mereka yang dikenali sebagai HYdeout pada Disember 2020. Antara tema klasik yang ditampilkan sebelum ini adalah Spookyville dan Dinotopia.

Jangan lupa saksikan episod baharu Upin dan Ipin musim ke-14, setiap Isnin hingga Khamis jam 7.30 malam di Astro Prima (saluran 104) dan Astro Go.