HIBURAN
Ratu Cantik Thailand Suchata Opal Menang Miss World 2025!
Peserta dari Thailand, Suchata Opal Chuangsri dinobatkan sebagai Miss World pada pertandingan ratu cantik tersebut edisi ke-72 yang dianjurkan di Hyderabad, India, semalam, lapor laman berita Bangkok Post.
Opal, 22, ialah pelajar sains politik dan pengasas inisiatif ‘Opal for Her’ yang menyokong wanita penghidap kanser payudara.
Dia muncul rakyat Thailand pertama memenangi pertandingan itu yang disertai oleh 108 peserta lain.
“Ini bukan sekadar kemenangan peribadi. Ia adalah impian bersama setiap gadis muda yang ingin dilihat, didengari dan mencipta perubahan.
“Saya berbesar hati untuk mewakili legasi ini dan menggunakan masa saya sebagai Miss World untuk membuat perubahan yang nyata,” kata Opal dalam ucapan pertamanya.
Opal memiliki ketinggian 180 sentimeter dan berasal dari Pulau Phuket, selatan Thailand.
Keluarganya mempunyai perniagaan di kawasan bandar lama pulau peranginan itu.
Dia sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang hubungan antarabangsa di Universiti Thammasat serta fasih berbahasa Cina, Inggeris dan Thai.
Sementara itu, tempat kedua Miss World adalah milik Hasset Dereje dari Ethiopia, diikuti oleh Maja Klajda dari Poland di tangga ketiga. – AGENSI
Must-Watch Video