Ratu Mukbang Kekal Langsing Walau Makan 10,000 Kalori
Seorang YouTuber terkenal Korea Selatan yang digelar sebagai ‘Ratu Mukbang’, Tzuyang sekali lagi menjadi tumpuan selepas membuat penampilan kekal langsing walaupun memakan makanan dalam jumlah yang luar biasa besar ketika bersiaran langsung, hingga mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan peminatnya.
Tzuyang, 28, dikenali menerusi saluran YouTube miliknya yang memaparkan dirinya menikmati pelbagai jenis hidangan dalam kuantiti yang amat banyak, kadangkala mencecah lebih 10,000 kalori dalam satu sesi makan.
Namun, yang menghairankan ramai ialah fizikalnya kekal kurus dengan berat hanya sekitar 50 kilogram tanpa melakukan sebarang senaman.
Penampilannya sebelum ini juga sering mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet, malah ada yang menuduhnya berpura-pura makan dengan menyunting video atau sengaja memuntahkan makanan selepas makan bagi mengelak peningkatan berat badan.
Bagaimanapun, Tzuyang menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa semua makanan yang dimakannya adalah benar dan tidak disunting.
Antara cabaran makan yang pernah dilakukannya termasuk menelan 20 burger, 20 mangkuk mi ramen, tiga kilogram daging, 240 keping sushi serta 16 meter usus lembu – kesemuanya dalam satu sesi.
Dalam satu lagi video, dia dilihat makan 10 meter kek beras Korea, 100 ekor udang, 200 tiram dan 140 cucuk kambing panggang.
Walaupun menerima pujian dan berjaya mengumpul jutaan pengikut di pelbagai platform media sosial, Tzuyang turut dikritik kerana didakwa membazir makanan dan memberikan persepsi tidak realistik tentang pemakanan berlebihan tanpa kesan terhadap kesihatan atau berat badan.
Bagi menjawab dakwaan tersebut, Tzuyang baru-baru ini tampil menjalani pemeriksaan perubatan secara terbuka di sebuah klinik di Seoul, termasuk prosedur gastroskopi dan kolonoskopi.
Keputusan yang diumumkan oleh pakar kesihatan awam, Dr Seo Jae Gul, mengejutkan ramai apabila beliau mendedahkan bahawa saiz perut Tzuyang adalah 30 hingga 40 peratus lebih besar berbanding wanita seusianya.
“Secara profesional, saya boleh sahkan bahawa kapasiti perut anda lebih besar daripada biasa. Ini menjadikan fungsi pencernaan, penyerapan dan pengeluaran lebih cekap.
“Indeks jisim badan anda juga hanya 17.5, iaitu tergolong dalam kategori kurang berat badan, tetapi perut anda lebih besar daripada kebanyakan lelaki dewasa,” katanya.
Tambah beliau, keadaan usus besar Tzuyang juga sihat tanpa sebarang keradangan atau polip. Paras gula darah purata dalam tempoh enam bulan juga hanya sekitar 5.2 peratus – kadar yang menunjukkan fungsi pankreasnya berada dalam keadaan baik untuk mengawal glukosa selepas makan secara berlebihan.
Malah, teori warganet bahawa lapisan usus kecilnya mungkin menyerap sedikit sahaja nutrien sebelum makanan terus dialirkan ke usus besar turut disahkan oleh Dr Seo.
Selepas menjalani pemeriksaan, Tzuyang sempat bergurau mengatakan dirinya 'kelaparan' sebelum segera ke kedai roti membeli makanan dan mengakhiri hari itu dengan menikmati hidangan besar di sebuah restoran Cina.
Sumber: Sinar Harian