Datuk Samuri Juraimi iaitu pengasar Sate Kajang Hj Samuri, meninggal dunia di kediamannya, pada 12.05 tengah malam tadi.

Menurut Bernama, punca kematian iaitu barah hati disahkan oleh anaknya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Beratus penduduk setempat, saudara dan kenalan hadir di tanah perkuburan itu. Ibunya, Peah Kurus turut berada di pusara anaknya.

Sementara itu, anak kepada Allahyarham, Nor Ilyana, 37, memberitahu legasi perniagaan Sate Kajanh Hj Samuri akan diteruskan kerana ia warisan keluarga.

Anak ketiga daripada lima beradik itu, berkata perniagaan yang sudah berusia 25 tahun itu sungguh bermakna dan akan diteruskan seperti biasa.

“Kami lima beradik memang sudah membabitkan diri dalam perniagaan sate ini sejak sekian lama.

“Ayah selalu memberi tunjuk ajar kepada kami berkenaan perniagaan ini dan akan diteruskan seperti yang diwasiatkan," katanya kepada Harian Metro.

Allahyarham Samuri, 73, meninggalkan balu, Datin Jani Mohamad Amir dan lima anak, Norsham, Sofian, Nor Ilyana, Shafeq dan Nurul Aqilah.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam, kira-kira 8 pagi.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, pada kira-kira 9 pagi.