Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan penyanyi dan pelakon Datuk Awie untuk membayar ganti rugi kepada bekas isterinya, Rozana Misbun sebanyak RM80,000 atas dakwaan mencederakan wanita itu tujuh tahun lalu.

Memetik laporan BERNAMA, Rozana telah memfailkan saman sivil pada tahun 2017 terhadap Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Osman bagi kecederaan yang dialami akibat dipukul pelakon itu.

Rozana mendakwa kejadian tersebut berlaku di tiga tempat termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 2014.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Awie pada masa sama mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Rozana.

Menurut Nor Bee, ganti rugi am bagi kesakitan serta penderitaan sebanyak RM30,000, serta ganti rugi teruk RM50,000 dikenakan bagi tekanan dan rasa malu yang diberi oleh Mahkamah Sesyen kepada Rozana adalah adil dan munasabah berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

Mahkamah Tinggi bertindak mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu hingga membuatkan Awie membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan.

Kata Nor Bee yang bersidang dengan Datuk S. Nantha dan Datuk Ghazali Cha, mereka memutuskan tidak ada merit dalam rayuan Awie serte memerintah beliau membayar RM15,000 sebagai kos.

Ketika penghakimannya, Nor Bee mengatakan panel berkenaan tidak berpuas hati dengan hujah bahawa Mahkamah Sesyen telah tersilap dari segi undang-undang, fakta atau bukti berkaitan kes tersebut.

"Responden (Rozana) memberi keterangan bahawa ketiga-tiga insiden memang berlaku dan Mahkamah Sesyen menerima keterangan itu serta mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai dan perkara ini telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi," katanya.

Kata beliau lagi, mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujah peguam Hazman Harun yang mewakili Awie mengatakan Rozana adalah terhalang daripada memfailkan tindakan sivil berhubung insiden itu selepas beliau bersetuju menyelesaikan kes tersebut melalui bayaran kompaun.

Pada Mei 2016, Mahkamah Majistret Ampang membebaskan Awie daripada pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana selepas penyanyi itu membayar kompaun sebanyak RM10,000 serta meminta maaf secara terbuka dalam mahkamah kepadanya.

"Pada pandangan kami, membayar kompaun bagi kesalahan itu adalah perkara yang berkaitan dengan undang-undang serta prosedur jenayah dan tidak mempunyai sebarang kesan ke atas hak responden (Rozana) untuk memfailkan tindakan sivil terhadap perayu (Awie) bagi mendapatkan remedi berdasarkan fakta yang sama dalam pertuduhan bagi insiden pertama," kata Nor Bee.

Tambah Nor Bee, Awie turut didakwa bagi kes kedua iaitu mencederakan Rozana di kaunter PNB dan selebriti popular itu telah mengaku bersalah serta didenda sebanyak RM2,000.

Hakim itu berkata, walaupun tiada pertuduhan dikenakan terhadap Awie bagi kejadian ketiga yang didakwa berlaku di kawasan parkir PNB, bagaimanapun Rozana telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Awie bertindak menafikan dakwaan insiden ketiga itu berlaku dan memfailkan tuntutan balas terhadap Rozana atas dakwaan pecah amanah kerana menggunakan wang yang disimpan untuk pendidikan anak mereka.

Bagaimanapun, tuntutan yang dibuat Awie itu ditolak oleh Mahkamah Sesyen.

Untuk info, Rozana diwakili peguam Azlan Abd Roni, Nasyrah Ezzan Ali dan Ahmad Fakhri Abu Samah.

Sumber: BERNAMA

Dapatkan kemaskini berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.