Keadaan cuaca yang masih hujan tidak menghalang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk turun padang melawat mangsa banjir.

Menerusi satu hantaran di Twitter rasminya, Ismail dilihat meninjau kawasan sekitar Kampung Bukit Lanchong, Putra Height, Selangor.

“Ramai penduduk Kampung Bukit Lanchong tersekat akibat banjir di kawasan Putra Heights, Selangor.

“Saya sempat bertanya sendiri dengan mangsa banjir mengenai situasi yang mereka hadapi,” katanya.

Tambah beliau, Pasukan Bomba dan Penyelamat terus melaksanakan kerja-kerja memindahkan dan membantu penduduk yang terkandas di kawasan tersebut.

“Kita akan pastikan setiap mangsa banjir menerima bantuan dengan cepat dan pantas,” katanya.

Terdahulu, Ismail menegaskan keutamaan kerajaan kini ialah memindahkan mangsa banjir yang terperangkap demi menyelamatkan nyawa mereka.

Beliau berkata selain itu kerajaan juga akan memastikan bekalan makanan disediakan untuk mangsa-mangsa banjir terutama di sekitar Lembah Klang, yang paling teruk terjejas dalam bencana banjir kali ini.

"Kita tidak boleh tunggu lagi, (bantuan lain) akan bincang kemudian, yang penting sekarang selamatkan mangsa, yang terperangkap pindahkan dahulu ke tempat selamat.

“Kewangan, bantuan lain kita boleh uruskan kemudian,” katanya.