HIBURAN
"Resipi Saya Jangan Ikut, Saya Pun Ikut Orang" - Amy Mastura
Sesuai dengan imejnya yang sentiasa tampil bersahaja dan positif, Amy Mastura kekal menjadi pilihan utama sebagai duta rasmi produk keluaran Rasa Rosz.
Keperibadiannya yang bersih dan imejnya yang konsisten sepanjang bergelar anak seni menjadikan beliau wajah yang ideal untuk mewakili jenama yang menekankan nilai mesra, sihat, ringkas dan sesuai untuk seisi keluarga.
Bagi Amy, kolaborasi bersama Datuk Seri Rozita Ramelan, pemilik Restoran Rasa Rosz, bukan sekadar soal perniagaan semata-mata, tetapi berlandaskan kepercayaan dan keserasian yang terjalin sejak sekian lama.
“Saya sangat selesa bekerja dengan Datuk Seri. Diam tak diam, sudah lima tahun saya bersama Rasa Rosz. Tahun lepas kami berehat seketika kerana saya ke tanah suci, dan beliau pula kurang sihat. Tahun ini, kami kembali dengan semangat baharu,” kata Amy.

Selain menjadi duta, Amy juga turut menyumbangkan idea resipi untuk beberapa menu pilihan pelanggan termasuk resepi Nasi Daging yang kini menjadi antara tarikan utama restoran.
Namun dalam nada berseloroh, Amy mengakui kebanyakan ramuan istimewa sebenarnya berasal dari ilmu turun-temurun milik Datuk Seri Rozita.
“Resipi saya jangan ikut sangat, saya pun ikut orang. Tapi kami olah semuanya ikut selera sendiri," ujarnya tertawa.
Masih dapat tawaran berlakon
Dalam pada itu, Amy turut berkongsi bahawa jadualnya kini padat dengan penggambaran drama dan persembahan pentas, di samping komitmennya bersama Rasa Rosz.“Alhamdulillah, tawaran berlakon dan menyanyi masih ada. Nampaknya saya masih lagi relevan dalam industri. Kalau tiada komitmen kerja, saya lebih suka luangkan masa bersama keluarga," katanya yang dilantik sebagai duta produk bagi jenama Rasa Rosz.
40 pes segera
Selepas kejayaan produk seperti Ratu Tumis, Sambal Ready To Eat dan Lazzat, Restoran Rasa Rosz kini bersedia melancarkan lebih 40 pes segera baharu di bawah syarikat Rasa Rosz Sdn. Bhd.Menurut pemiliknya, Datuk Seri Rozita Ramelan, jenama ini semakin berkembang dengan 40 produk sedia ada untuk kegunaan hotel, restoran dan pengguna biasa.
Antara yang sudah berada di pasaran termasuk pes nasi ayam, nasi pandan, nasi lemak, sambal belacan, rendang, serta masak lemak cili api.
Produk baharu dalam perancangan termasuk variasi sambal belacan dengan tiga jenis pembungkusan, serta pes saiz mini untuk golongan bujang dan pelajar.
“Kami hasilkan pes yang serba lengkap – tak perlu potong bawang, semua dah ada dalam satu pek,” kata Rozita.
Restoran Rasa Rosz juga dalam fasa pengembangan, dengan satu cawangan baharu bakal dibuka tahun ini dan dua lagi tahun depan.
Outlet terkini di AEON Big Wangsa Maju dan IOI City Mall Putrajaya menawarkan menu sihat seperti burger, ayam panggang, salad dan Siakap bersama cauliflower rice, popular dalam kalangan pelanggan muda.
Must-Watch Video