Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan bakal dipasarkan ke peringkat antarabangsa melalui projek Road To Oscars.

Menyedari kejayaan filem itu yang kini sudah meraih RM51.8 juta dalam tempoh 13 hari tayangan, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kementerian merancang menghasilkan lebih banyak filem berkisar sejarah negara untuk dibawa ke luar.

"Kami sedang melancarkan projek Road To Oscars di mana kementerian mencari jalan untuk bekerjasama dengan beberapa pihak bagi mendapat tajaan dan sebagainya.

"Kami ada meminta universiti tempatan dan sektor telekomunikasi untuk membantu. Kalau boleh, bukan saja mahu bajet Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sebaliknya, kami mahu syarikat lain beri sokongan demi kemajuan dan perkembangan industri kreatif negara.

"Melalui Road To Oscars, kami mahu buat filem sejarah yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa. Selain Mat Kilau, contohnya, kita boleh buat filem mengenai Raja Ali Haji secara kerjasama dengan negara jiran," katanya. selepas melancarkan supertele Penanggal Mak Kiah dan filem Flaka di Putrajaya, pada Khamis.

Zahidi berkata, perkara itu disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa selepas pulang daripada lawatan kerja ke Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Sementara itu, Zahidi memberitahu pihaknya mendengar rintihan pengusaha filem mengenai cukai hiburan yang didakwa dikenakan terlalu tinggi, malah mengakui ia agak membebankan untuk penggiat industri kreatif.

Justeru Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mahu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengurangkan duti hiburan 25 peratus kepada kadar munasabah.

"Perkara ini memang patut diperjuangkan penggiat seni dan masyarakat. Saya berterima kasih kerana masyarakat prihatin mengenai cukai hiburan sebanyak 25 peratus ini.

"Kalau boleh, kami mahu minta PBT tidak mengenakan cukai yang sangat tinggi.

"Kita mahu bantu penggiat seni negara. Tetapi, kalau PBT mengenakan cukai hiburan yang tinggi, ia boleh membantutkan perkembangan dan kemajuan industri kreatif kita," jelasnya lagi.

kredit foto: Faisol Mustafa