HIBURAN
Rosyam Nor Jawab Isu Video Tular Suami Isteri Bergaduh, Ada Mesej Tersirat - “Mula-Mula Orang Marah, Selepas Itu Mereka Faham”
Pelakon, Datuk Rosyam Nor, menjelaskan bahawa video mengenai pasangan suami isteri yang bergaduh di Rosyam Mart baru-baru ini merupakan sebahagian daripada strategi pemasaran pasar raya berkenaan.
Menurut Rosyam, dia sedar bahawa masyarakat mudah terkesan dengan hal-hal yang melibatkan isu rumah tangga.
“Memang sebenarnya Rosyam Mart adalah pasar raya untuk keluarga, jadi apabila kita timbulkan isu rumah tangga dan pergaduhan di antara suami isteri, masyarakat kita memang tak boleh terima perkara seperti itu.
“Saya rasa itu antara sebab kenapa video itu boleh jadi tular. Apabila seorang perempuan diperlakukan begitu maka ramailah netizen-netizen perempuan yang menyokong.
“Mereka jadi tertanya-tanya dan tak setuju kenapa lelaki buat benda itu kepada perempuan,” jelasnya.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui di Majlis Korban Perdana dan Kenduri Rewang Ikhlas.com ST Rosyam Mart di Masjid Meranti, Puchong.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tujuan menghasilkan video tular tersebut dengan menyentuh isu rumah tangga, Rosyam mendakwa pihaknya mempunyai mesej tersirat.
“Daripada video itu kita berharap masyarakat di luar sana khasnya suami isteri, janganlah ada perlakuan yang begitu. Itulah maksud yang kita nak ketengahkan.
“Memanglah mula-mula orang marah, selepas itu orang faham, lepas faham orang suka.
“Macam saya berlakon dalam Keluarga Itu, mula-mula orang marah tapi bila orang faham tujuannya, orang menghargai mesej tersebut.
“Sama juga seperti bahan kandungan yang kita buat untuk Rosyam Mart dan juga Ikhlas.com,” katanya.
Terdahulu, tular dia video Tik Tok yang memaparkan sepasang suami isteri bertengkar untuk membayar barangan keperluan dapur di Rosyam Mart.
Insiden itu menyaksikan seorang lelaki telah membaling barangan dengan emosi marah terhadap isterinya sehingga tergamak menolak troli itu dengan kasar sehingga terbalik.
Tindakannya itu kemudiannya telah mengundang kemarahan warganet yang prihatin terhadap situasi tegang yang berlaku.
Must-Watch Video