Pelakon dan pengarah, Opie Zami telah merujuk karya terbarunya berjudul Kron kepada Mufti Negeri Perak, Tan Sri Datuk Seri Dr Haji Harussani Haji Zakaria bagi mengelakkan sebarang isu sensitiviti berbangkit.

Menurut Opie atau nama sebenarnya Mohd Saufi Zami, 45, buah tangan terbarunya itu berlatar belakang kisah kerajaan Kedah Tua yang menghantar bunga emas kepada Siam dan kemudian plot ceritanya dikembangkan dengan menjadi sebuah filem fiksyen.

“Saya berterima kasih pada Mufti kerana sanggup menonton filem ini dan membantu saya untuk menilai adakah elemen-elemen fiksyen dalam filem ini boleh memesongkan akidah.

“Saya rujuk pada mufti dulu barulah saya beri pada Lembaga Penapisan Filem untuk tujuan semakan. Apa yang mufti jawab, filem ini bagus dan tidak apa yang sensitif.

“Kron itu bermaksud semangat hutan bagi bangsa Ukirian yang saya reka sendiri bagi filem ini. Segala ritual, bahasa dan tulisan yang mewakili bangsa ini merupakan ciptaan kami sendiri,” ujarnya kepada Gempak.

Opie ditemui selepas majlis tayangan media bersama barisan pelakon filem Kron yang bertempat di E@Curve pada Khamis.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini adalah Zahiril Adzim, Dayana Roza, Aman Graseka dan Mamak Puteh.

Tambah Opie lagi, besar harapannya untuk melihat filem ini menerima reaksi positif daripada penonton kerana tidak ramai pengarah yang mahu berkarya untuk filem seperti ini.

“Orang jangka saya akan buat filem komedi kerana saya datang dari genre itu. Ini filem ketiga arahan saya selepas filem Warkah dan Kecoh! Hantu Raya Tok Chai.

“Motif utama filem ini adalah mahu mencari jawapan kepada kehilangan isterinya dalam sebuah ekspidisi. Bagaimanapun, usahanya itu telah diganggu oleh mahkluk yang tidak dikenal.

“Sebenarnya sampai sekarang saya masih belum berpuas hati dan saya masih belajar untuk menghasilkan filem yang baik,” ujarnya lagi.

Kron mengisahkan Profesor Daud (Aman Graseka) seorang pengkaji sejarah di sebuah muzium di Kedah dan pembantunya Sham (Zahiril Adzim) mahu melakukan pengembaraan menjejaki laluan Raja Siam untuk membawa bunga emas dan perak ke negaranya.

Kehadiran seorang ahli perniagaan bernama Melur Seri (Dayana Roza) telah menguatkan lagi hasrat dan cita-cita Profesor Daud memandangkan segala kos pengembaraan akan ditanggung oleh Melur Seri.

Menerusi penggembaraan inilah segala kejahatan daripada keturunan lampau mengejar mereka.

Filem Kron akan mula berada di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Ogos ini.