Berita
Rumah Dilanda Banjir, Pemuda Ikat Tong Dram Bawah Katil Untuk Keselesaan Bapa Sakit Terlantar
Seorang pemuda di Kampung Chapu, Terengganu bertindak kreatif dengan mengikat tiga tong dram besi di bahagian bawah katil boleh laras ayahnya yang terlantar sakit, bagi memberi keselesaan kepada warga emas itu ketika rumah mereka dilanda banjir.
Zulkifli Che Noh, 37, berkata idea untuk mengikat tong dram tersebut menggunakan tali merupakan cadangan daripada penduduk kampung setelah ayahnya Che Noh Che Hassan, 79, tidak mampu untuk bangun atau duduk sejak awal tahun ini akibat menderita penyakit saraf.
"Ayah sakit saraf sudah 20 tahun tetapi dia terlantar sejak 10 tahun lepas namun sebelum ini dia masih boleh duduk di atas kerusi selama beberapa minit, tapi tahun ini ayah tidak lagi dapat duduk di kerusi dan hanya mampu terlantar di atas katil.
"Sebelum ini apabila rumah dinaiki air ayah akan duduk di atas kerusi yang ada pemegang dan saya bersama penduduk kampung akan angkat ayah bersama kerusi itu untuk naik ke atas loteng rumah. Jadi tahun ini saya memikirkan cara supaya tidak perlu lagi mengangkat ayah naik ke atas loteng," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pekerja swasta itu berkata sejak minggu lepas dia mencuba pelbagai kaedah penyusunan tong dram tersebut di bahagian bawah katil bagi membolehkan katil Che Noh dapat terapung di atas air dan mudah dipusingkan ke arah kiblat apabila ayahnya ingin menunaikan solat.
Usahanya itu membuahkan hasil apabila katil yang telah diikat bersama tiga tong dram besi berjaya diapungkan, meskipun air naik ke dalam rumahnya sehingga ke paras paha pada tengahari Rabu lepas.
Beliau berkata ayahnya tidak perlu lagi diangkat ke atas loteng ataupun berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meskipun rumah dinaiki banjir.
"Selama ini pun ayah biasanya hanya tinggal di loteng rumah kalau banjir kerana dia tidak selesa untuk tinggal di PPS berikutan keadaan kesihatannya itu. Jadi saya bersama ibu (Zainab@Halimah Ismail, 77) dan adik beradik yang lain bergilir menjaga ayah di rumah sepanjang banjir ini sementara ahli keluarga lain berada di PPS," jelasnya.
Bagaimanapun Zulkifli berkata sekiranya keadaan banjir semakin memburuk dan diarahkan berpindah ke PPS, mereka sekeluarga akan berikhtiar untuk memujuk dan membawa ayahnya ke PPS.
Beliau menambah kawasan rumahnya saban tahun dinaiki air pada musim tengkujuh ekoran terletak berhampiran sungai dan dia juga sudah lali dengan bencana tersebut sejak kecil lagi.
Sumber: Astro Awani menerusi BERNAMA
Must-Watch Video