Penyanyi Amylea Azizan berkongsi bahawa dirinya masih menerima kecaman tentang rupa paras walaupun telah 19 tahun menceburi industri muzik tanah air.

Menurut Amylea atau nama sebenarnya Amylea Azizan, 37, berkata, dia menerima banyak kritikan berkaitan fizikalnya yang dianggap tidak menepati standard kecantikan di negara ini.

“Daripada 2005 sehinggalah sekarang saya masih lagi menerima kecaman. Ada yang komen secara terbuka dekat saya cakap ‘Amylea awak berbakat, saya rasa awak kena buat pembedahan supaya orang boleh terima rupa awak’.

“Ada yang beri pujian dalam kecaman, maksudnya macam ‘awak memang berbakat, tapi Malaysia tak boleh hargai kalau tiada rupa’,” katanya.

Amylea ditemui pada majlis pelancaran koleksi Fiziwoo Bridal RTW 2024 bertempat di Maison Fiziwoo, Setiawangsa.

BERITA TRENDING: Kenal Beberapa Bulan, Amylea Nikahi Pegawai Bomba Singapura

Dalam pada itu, Amylea mengakui dirinya terkesan dengan komen-komen negatif yang diterima namun kekal tabah dengan ujian tersebut.

“Tipu kalau saya cakap benda tu tak mengganggu emosi ataupun menyakitkan hati, dan saya menangis berkali-kali sehingga nak saman orang sebab fitnah.

“Saya cuba bersabar, tapi perkara itu memang sangat memberi tekanan,” ujarnya.

Untuk rekod, Amylea baru-baru ini telah mendirikan rumah tangga bersama seorang pegawai bomba dari Singapura.

Majlis akad nikah pasangan itu berlangsung di rumah keluarga Amylea, di Sungai Petani, Kedah, pada November lalu.