HIBURAN
Ryan Bakery Dedah Terima Banyak Gambar Tak Senonoh Daripada Wanita - “Saya Sendiri Tunjuk Pada Isteri, Dia Akan…”
Pelakon Ryan Bakery mendedahkan dia tidak terkecuali daripada menjadi sasaran segelintir wanita yang menghantar mesej tidak senonoh di media sosial.
Menurut Ryan, atau nama lengkapnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 30, dia kerap menerima kiriman gambar tidak sopan daripada individu yang tidak dikenali.
“Wanita-wanita yang DM itu memang ada, kadang-kadang apabila saya lihat diri dalam cermin, saya ini tidak lah ‘helok’ (kacak) mana pun.
“Saya sendiri tunjukkan kepada isteri saya, dia akan padam mesej-mesej tersebut. Isteri rajin ‘scroll’ semua mesej yang saya terima di bahagian ‘hidden message’.
“Di bahagian itulah banyak gambar yang tidak senonoh dihantar,” katanya kepada Gempak.
Pemenang trofi Digital Creator Entertainment Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2024 itu juga bersyukur kerana isterinya tidak mudah melatah sekaligus berjaya mengawal dirinya daripada terpengaruh dengan godaan tersebut
“Terletak pada diri sendiri, saya insya-Allah seorang isteri sudah cukup. Jika bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jadi faham-faham sahaja lah.
“Isteri saya faham kerjaya saya dalam dunia seni. Dia pun kadang-kadang ikut saya bekerja. Jujur, saya mengaku takut apabila dapat mesej sebegitu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ryan turut meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir pihak yang menyibuk mengenai urusan rumah tangganya.
“Saya selalu dipesan oleh netizen jangan terlalu kongsi gambar kegembiraan dengan isteri, saya jawab salah ke kalau nak muat naik gambar keluarga.
“Paling tidak seronok ada pihak yang suka menyibul hal keluarga saya, apa pun yang mana nasihat baik saya ambil,” tutupnya.
Must-Watch Video