Salah seorang anggota Super Junior, Ryeowook menyampaikan khabar gembira buat peminat apabila mengumumkan akan berkahwin pada Mei depan.

Bintang berusia 38 tahun tersebut akan berkahwin dengan kekasihnya, Ari, yang merupakan bekas anggota kumpulan Tahiti selepas sekian lama bercinta.

Pengumuman tersebut disampaikan menerusi platform media sosialnya, lapor AllKPop. Menurut Ryeowook, selepas menerima sokongan hebat daripada peminat yang digelar ELF, dia mahu menyampaikan sendiri khabar gembira kepada mereka sebagai tanda penghargaan.

“Selepas menghabiskan banyak masa dengan individu ini saya secara semula jadi mahu membina keluarga bersamanya.

“Ini bukan keputusan yang dibuat secara mendadak melainkan telah lama difikirkan dan dibincangkan bersama anggota Super Junior serta agensi.

“Jadi saya mahu mengadakan majlis perkahwinan kami pada hujung bulan Mei ini.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan ELF yang tidak pernah putus-putus. Saya juga ingin minta maaf jika ada dalam kalangan ELF yang mungkin terkejut dengan keputusan ini (berkahwin),” tulisnya panjang lebar.

Ryeowook pertama kali mengumumkan bercinta dengan Ari pada tahun 2020.