Bekas bintang Akademi Fantasia 2015 Syamel sebak mengenangkan urusan perkahwinannya bersama tunang yang juga penyanyi Ernie Zakri berdepan kesulitan ekoran temu janji bersama Pejabat Agama sudah penuh.

Menurut Syamel, dia tidak menafikan segala proses dan prosedur perkahwinan menjadi agak sukar sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua ini diadakan.

“Sekarang ni apa-apa kena buat temu janji dulu. Saya dan Ernie sama-sama tekan link Pejabat Agama untuk buat temu janji, dia tulis kat situ, ‘dah penuh’. Satu saat tekan, satu saat lagi air mata menitis.

“Bila PKP ni berulang kembali, tak dinafikan proses tu menjadi susah di mana saya bersama Ernie pun kami mengalami kesukaran nak meneruskan apa yang sudah dirancang.

“Tapi insya-Allah benda yang baik, tak kan selamanya akan disusahkan. Apa yang mampu saya cakap, sentiasa berdoa untuk semuanya dipermudahkan,” ujarnya menerusi temu bual bersama program Malaysia Hari Ini pada Selasa.

Malah menerusi laman sosial Instagram, Syamel sempat mendedikasikan sebuah video romantik lagu Ayat-Ayat Cinta Nyanyian Datuk Rossa khas buat Ernie.

A post shared by @syamel_official


“Semoga dipermudahkan,” tulis Syamel sebagai kapsyen dan turut disertakan emoji berbentuk hati.

Menerusi perkongsian berdurasi kurang dua minit itu, lagu Ayat-Ayat Cinta yang didendangkan penuh syahdu oleh Syamel itu turut disertakan dengan wajah-wajah Ernie sewaktu momen pertunangan mereka pada Ogos tahun lalu.

Malah, pelantun lagu Lebih Sempurna itu turut berharap agar urusan sesiapa yang ingin mendirikan rumah tangga sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berjalan lancar.

“Semoga dipermudahkan urusan kita semua dalam menyelesaikan urusan perkahwinan pada waktu ini,” tulis Syamel di hujung video.

Sehingga kini, video tersebut telah mendapat hampir 120,000 tontonan daripada pengikutnya.

Imbas kembali, Syamel, 27, dan Ernie, 28, mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis ringkas di kediaman Ernie pada 15 Ogos 2020.

Pasangan ini akan meneruskan majlis perkahwinan mereka selepas tempoh PKP tamat.