Hiburan
Salman Khan Dedah Punca Masih Belum Berkahwin
Aktor popular Bollywood, Salman Khan baru-baru ini mendedahkan rahsia mengapa dia masih belum berkahwin sehingga ke hari ini.
Menerusi temubual sewaktu mempromosikan filem terbaru lakonannya Prem Ratan Dhan Payo, Salman mengaku punca utama dia tidak mendirikan rumah tangga kerana merasakan tidak mampu menjadi seorang suami yang baik.
Pelakon berusia 50 tahun itu turut menepis tanggapan aktres Sonam Kapoor yang menganggap kononnya dia adalah calon suami yang hebat.
“Maaf saya meragui perkara itu. Saya bakal jadi seorang suami paling teruk sebab itulah saya masih belum berkahwin. Sesiapa sahaja yang bersama saya pasti tidak akan bahagia.
“Apabila saya tahu orang yang bersama saya tidak akan gembira, mengapa saya harus melalui penyeksaan ini apabila berkahwin kelak? Tapi saya mampu jadi bapa yang baik!,” jelasnya.
Salman turut menjawab pertanyaan sesetengah pihak tentang tindakannya yang tidak mahu menjayakan adegan bercumbuan di layar perak.
“Saya sangat tidak selesa untuk melakukan adegan seperti itu kerana tidak menyukainya. Saya fikir tidak perlu pun adegan bercumbuan di layar perak,” tambahnya lagi.
Sebelum ini Salman pernah menjalinkan hubungan cinta dengan aktres cantik Katrina Kaif.
Baru-baru ini namanya menjadi berita utama di India selepas dikhabarkan mengikat tali pertunangan dengan aktres dan hos terkenal Romania, Lulia Vantur.
Olahan Semula: Khalid Rahman
Sumber: Miss Malini, Daily Times, IB Times
Must-Watch Video