Meraikan sambutan Hari Kebangsaan di katil hospital, pelakon Datuk Aaron Aziz sempat mengemas kini akaun Instagramnya terpaut dengan jam tangan camouflage yang dipakai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Menerusi hantaran terbaharunya, Aaron meminta bantuan pengikutnya untuk mengenal pasti jenama jam tangan terbabit.

"Abang nak tanya sikit. Siapa tahu ini jam apa Perdana Menteri pakai? Korang kan tahu kurta abang camo, bag abang camo sampai isteri punya tudung pun camo.

"Tengah menahan sakit di hospital tiba-tiba nampak jam Datuk Seri Ismail Sabri pakai. Bergaya pula kan," tulisnya.



Aaron turut mencuri tumpuan pengikutnya menerusi beberapa tanda pagar yang disertakan sekali dalam hantaran tersebut antaranya #AbangSakitTapiNakJam, #AbangSukaCamo dan #AbangPrayIsteriBelikan.

Rata-rata komen yang diberikan pengikut mendedahkan jam tangan yang digunakan Ismail adalah model Casio, G-Shock.

"Casio G-Shock GA-700CM," tulis seorang pengikutnya.

"G-Shock Camouflage hijau kalau tak silap. Moga cepat sembuh Aaron. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan," kata seorang pengikut lagi.

"Mohon PM hadiahkan abang jam sempena merdeka," kongsi seorang lagi pengikut berseloroh.

Difahamkan jam tangan yang dipakai Ismail Sabri bernilai sekitar RM400.

Sementara itu, pelakon filem Ombak Rindu itu terdahulu mengemaskini akaun media sosialnya memaklumkan keadaannya kini sedang dirawat di hospital.