Naskhah terakhir Allahyarham Mamat Khalid yang disempurnakan anaknya, Amen Khalid, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali kini ditayangkan di pawagam.

Ini menyaksikan kali pertama setelah empat tahun Kampong Pisang Universe ditayangkan di panggung wayang menerusi filem komedi seram no 1 negara, Hantu Kak Limah.

Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, karya sentuhan terakhir Allahyarham Mamat Khalid ini seharusnya dinikmati menerusi platform berbeza yang menawarkan perspektif tersendiri.

“Selaku penerbit, Astro Shaw mengambil inisiatif dengan membawakan filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali ke pawagam.

“Ini memberikan peluang buat para penonton untuk merasai kelainan dari sudut pengalaman sinematik, di samping merasai keseronokan bergelak-tawa bersama seisi keluarga mahu pun rakan-rakan di layar perak.

“Kami mengharapkan usaha ini sedikit sebanyak dapat memastikan karya sentuhan terakhir ini terus dihargai dan tersemat di hati kita semua.

“Sementara itu, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat pemamper TGV Cinemas di atas kerjasama dan sokongan penuh buat Kampong Pisang Berbuah Dua Kali di pawagam.

“Rentetan daripada sambutan baik di Astro First, kami yakin perkhabaran filem komedi seram ini di panggung wayang tentu menambahkan lagi keterujaan penggemar filem serta mengubat rindu buat mereka yang sukakan ‘feel’ pawagam,” jelasnya.

Mewakili TGV Cinemas, Ketua Pegawai Pemasaran TGV Cinemas, Mohit Bhargava berkata, ini juga merupakan sebagai tanda penghargaan pihak mereka buat lagenda hebat Mamat Khalid.

“Sutradara Allahyarham Mamat Khalid telah meninggalkan legasi besar buat industri perfileman dan filem-filem sentuhannya banyak memberi kesan serta meninggalkan gelak-tawa kepada penonton Malaysia yang meliputi semua peringkat umur dan bangsa.

“Sebagai tanda penghargaan buat legenda hebat ini, TGV Cinemas memainkan peranannya sebagai pemamer dengan menyediakan ruang buat filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali agar ia dapat dinikmati oleh peminat dan penonton bersama insan tersayang dengan sinematik berbeza,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali juga telah mendominasi carta no 1 Astro First minggu ini.

Kini filem komedi seram ini bukan sahaja terus menghiburkan penonton di Astro First, tetapi dalam masa yang sama bersedia temui peminat dan penonton di panggung wayang terpilih seluruh Malaysia bermula 18 Mac ini dalam tempoh terhad.

Filem arahan pengarah Amen Khalid ini telah menemui penonton di platform Astro First bermula 3 Mac lalu dan menariknya, ia telah menerima sambutan baik, sekali gus berjaya meraih kutipan RM 1 juta dalam tempoh 6 hari.

Pawagam terpilih yang akan menayangkan Kampong Pisang Berbuah Dua Kali adalah TGV Bukit Tinggi, Klang; TGV Kinta City, Ipoh; TGV Bukit Mertajam, Penang; TGV Tebrau City, Johor; TGV Mesra Mall, Terengganu dan TGV Wangsa Walk, Kuala Lumpur.

Filem komedi seram kesukaan ramai terbitan Astro Shaw dan kerjasama produksi Enjit-Enjit Semut ini membariskan pelakon Kazar Saisi (Pak Din), Bell Ngasri (Barkoba), Aziz M Osman (Pak Jabit), Mat London (Pak Karim), Datin Padukan Eina Azman (Cik Mek), Azman Mantra (Cik Gerhana), Dewa Sapri (Cik Purnama), Ahmad Yassin (Yassin), Rasydan Zakaria (Adan), Nizam Mok Ram (MA Mok), Joey Daud (Daud M), Yeop Hitler (Manap Sengau), Rashid Othman (Faguha Jabar), Anis Nisham (Yati).

Kisah kekecohan Kampong Pisang Berbuah Dua Kali bermula dengan kemunculan Cik Mek dan perkara aneh di Kampong Pisang telah mengganggu seluruh penduduk Kampong Pisang.

Kejadian misteri turut berlaku pada Gerhana, iaitu adik kepada Cik Purnama sehingga menarik perhatian seluruh penduduk kampung.

Dalam pada itu, Pilihan Raya Kecil diadakan di Kampong Pisang setelah kerajaan bertukar regu untuk kali ke 18 dan penduduk kampung berbahas semasa sendiri untuk kebaikan kampung mereka.

Dapatkan tiket Kampong Pisang Berbuah Dua Kali di pawagam terpilih TGV Cinemas bagi menikmati sinematik pawagam bermula 18 Mac ini.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.