Hiburan
Sandra Dianne Tolak Andaian Dayang Nurfaizah Akan Bersikap Pilih Kasih
Penyanyi dan peserta Big Stage 2020, Sandra Dianne menolak andaian tentang kemungkinan juri tetap program itu, Dayang Nurfaizah akan bersikap berat sebelah terhadapnya.
Menurut Sandra, meskipun dia pernah menjadi calon protege kepada Dayang dalam program Mentor Legend sebelum ini, namun dia yakin dengan sikap profesional dan ketelusan penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu.
"Saya tak rasa akan wujudnya bias antara Dayang dan saya, saya tahu kredibiliti Dayang, dia sangat profesional.
"Sepanjang dia mengajar saya dahulu, dia sangat jujur dan telus, kalau saya menyanyi tak sedap, dia akan cakap tak sedap, kalau ada salah dia akan beritahu.
"Jadi, berdasarkan perkara itu saya yakin yang dia tidak akan bias terhadap saya sepanjang penglibatan dalam Big Stage 2020 ini," katanya.
Sandra berkata demikian ketika ditemui di sidang media Big Stage 2020 pada Selasa.
Tambah Sandra, dia bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai Big Stage 2020.
"Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai Big Stage kerana bagi saya, program ini amatlah besar ertinya untuk saya.
"Sebelum ini saya sudah berusaha keras untuk mendaki dalam membina nama di industri hiburan, semoga Big Stage 2020 membuka satu lagi peluang yang baik untuk saya," katanya lagi.
Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.
Big Stage 2020 akan memulakan konsert pertamanya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Must-Watch Video