Laman Utama
“Sangat Berjiwa Rakyat” - Pengusaha Makanan Tersentuh TMJ Sudi Mencemar Duli Singgah Di Gerainya
Hati siapa yang tidak tercuit girang apabila ada kerabat diraja yang sudi mencemar duli singgah di gerai minuman yang diusahakan? Hal itu dialami oleh seorang pengusaha gerai minuman Kopi Rakyat yang terletak di Kampung Baru Majidee, Johor Bahru baru-baru ini.
Menerusi laman Twitter, pemilik perniagaan yang dikenali sebagai Jong Razali itu berkongsi tangkap layar perbualan di akaun Instagram milik gerainya bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
Menerusi ciapannya, Jong Razali mengakui teruja dan tidak mampu meluahkan kata-kata apabila TMJ sudi mencemar duli untuk singgah di kedai kopi miliknya.
“Rezeki yang tidak mampu terucap dengan kata-kata. Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim perkenan mencemar duli singgah di kedai kopi saya.
“Sangat berjiwa rakyat, baginda sendiri yang DM dekat IG dan (hal ini) sesuatu yang sangat dahsyat dalam hidup saya. Syukur Ya Allah,” tulisnya.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan, TMJ menghantar DM dan bertanya jika kedainya masih lagi beroperasi. Menurut TMJ, baginda teringin untuk merasa air kopi yang dijual di gerai milik Jong Razali.
Sungguhpun begitu, gerai Jong Razali tutup pada hari Jumaat dan Jong meminta baginda untuk datang pada keesokan harinya.
“Esok saya akan beli dan promote kopi awak. Jaga diri baik-baik dan sampaikan salam saya kepada keluarga,” tulis baginda kepada Jong Razali.
Rata-rata pengguna laman sosial mendoakan kemurahan rezeki Jong Razali dan ada juga yang turut ingin mencuba kopi yang dijual di gerai Kopi Rakyat.
Must-Watch Video