Laman Utama

Sangeeta, Bront Teraju Utama 'I Am Vash', Bakal Mula Penggambaran Tahun Depan!

gempak
Amri Hassan
16/10/2021
12:54 MYT
Sponsor Banner
Sangeeta, Bront Teraju Utama 'I Am Vash', Bakal Mula Penggambaran Tahun Depan!
Bakal memulakan penggambaran pada tahun 2022, filem I Am Vash bakal menggandingkan dua bintang popular tanah air, Sanggeta Krishnasamy dan Bront Palarae.
Teruja dengan peranan utama yang diberikan untuk filem I Am Vash, kata Sangeeta, menjadi cabaran besar baginya untuk menggarap peranan sebagai watak protagonis wanita dalam pasukan pakaian seragam.
"Saya sangat teruja kerana dapat terbabit dalam sebuah projek yang tertumpu pada satu zaman di mana sistem kehakiman jenayah tempatan menghadapi cabaran-cabaran terbesar dan kisah terkenal dalam sejarah negara, dan saya lebih gembira bahawa ia dinaungi seorang protagonis wanita. Ini meraikan tempat wanita dalam pasukan berseragam," ujarnya.
Sementara itu, tambah Bront pula, penggambaran I Am Vash bakal menjadi pengalaman luar biasa baginya terutama peluang menghidupkan watak Asia Tenggara untuk pasaran global.
"Saya sangat teruja untuk beraksi dalam I AM VASH, sambil menghidupkan kisah-kisah sahih serta watak-watak Asia Tenggara buat tontonan dunia. Apatah lagi diberi peluang bekerjasama dengan pasukan dari 108 Media serta Revolution Media, saya yakin kami akan menjadikannya satu pengalaman luar biasa," katanya.
Filem aksi jenayah I Am Vash akan diterbitkan oleh syarikat penjana kewangan kandungan dan pengurusan hak media, 108 Media dan diterbitkan bersama syarikat penerbitan premium naungan Zainir Aminullah, Revolution Media.
Projek ini akan diketuai dan diterbitkan oleh para penerbit eksekutif seperti Justin Deimen, Abhi Rastogi, serta Micah Tadena (108 Media) bersama Zainir Aminullah di samping Anne Low(Revolution Media).
Turut serta adalah pasukan penerbitan dan kreatif yang menjangkaui rantau Asia Tenggara dan Los Angeles, terdiri daripada David Chang, Choong Chi-Ren, Tony Pietra Arjuna, Justin Wong, Shern Chong dan Leon Tan.
Berkisar bandar Pelabuhan Kelang di Malaysia yang dipenuhi jenayah sekitar tahun 1970-an, ia dinaungi watak Vash seorang pegawai polis wanita yang sentiasa menghadapi tekanan masyarakat dan politik sambil cuba menyelesaikan kes terbesar sepanjang kerjayanya. Kes itu membabitkan ketua geng penjenayah yang membuat onar di seluruh negara untuk memenuhi impiannya menguasai dunia kongsi gelap Asia Tenggara.
Sutradaranya, Adrian Teh yang sebelum ini pernah mencetus fenomena baharu dalam industri serantau lewat filem-filem komersial luar biasa seperti The Wedding Diary, Paskal dan Wira, akui bersemangat dengan latar belakang unik projek ini.
"Watak utama diterajui kaum minoriti dengan premis zaman retro berserta aksi? Ini sesuatu yang sangat mencabar buat saya sebagai seorang pengarah. Sudah tentu saya mahu turut serta!" ujarnya.
Sementara itu, kata presiden penerbitan 108 Media, Justin Deimen, kisah Vash mengetengahkan kaum minoriti dan komuniti serantau.
"Watak seperti Vash ini sangat penting bagi kaum minoriti dan komuniti serantau untuk diketengahkan, Malah ia dimainkan seorang bintang berbakat besar seperti Sangeeta yang akan menaikkan lagi semangat pasukan kami. Menyatukan unsur budaya dan komersial boleh menjadi satu titik pendorong buat kemunculan pergerakan baharu yang dapat melahirkan kandungan serantau yang mampu meliputi pasaran antarabangsa.
"Saya yakin penonton akan memberikan respon yang luar biasa terhadap citarasa dan misteri dalam siri ini, selain unsur era serta latar belakangnya yang tidak dilupakan," tambahnya.
Diilhamkan oleh peristiwa bersejarah, watak-watak ikonik dan wira-wira nyata, siri penuh aksi ini digarap dengan panel penulis lintas-sempadan buat tontonan penduduk tempatan serta antarabangsa dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di samping Bahasa Tamil dan juga dialekdialek Bahasa Cina.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live