Berita

Sanggup Ketepi Protokol Kerana Berjiwa Rakyat, Ini 6 Contoh Sikap YDP Agong & Raja Permaisuri Yang Disanjung

gempak
Syafiqah Jalal
26/07/2019
11:06 MYT
Sponsor Banner
Sanggup Ketepi Protokol Kerana Berjiwa Rakyat, Ini 6 Contoh Sikap YDP Agong & Raja Permaisuri Yang Disanjung
Yang di-Pertuan Agong (YDP Agong), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar sinonim dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat serta berjiwa rakyat.
Keprihatinan YDP Agong dapat dilihat dengan jelas bila mana setiap kali mendengar rakyat ditimpa bencana, baginda dan Raja Permaisuri Agong akan segera mencemar duli untuk bertanya khabar, memberi kata-kata semangat dan mengurniakan sumbangan peribadi.
Berikut contoh serta sikap berjiwa rakyat YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong yang disanjung rakyat.
1. Turun Dari Kenderaan Agong Cemar Duli Bantu Mangsa Kemalangan Sikap YDP Agong yang sanggup menyisihkan protokol untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan di Putrajaya penghujung Jun lalu mengejutkan rakyat.
Selepas selesai membantu mangsa, baginda terus menyambung perjalanan ke Mesyuarat Pra Kabinet.
Rakaman foto baginda turun dari kenderaan rasmi untuk membantu mangsa itu turut dimuat naik di laman sosial Instagram Istana Negara dan menjadi tular.
BACA: Turun Dari Kenderaan, Yang di-Pertuan Agong Cemar Duli Bantu Mangsa Kemalangan
2. Mencemar Duli Beratur Beli KFC
Foto YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong mencemar duli beratur dan membeli ayam goreng KFC di Temerloh, Pahang menjadi tular di laman sosial.
Rata-rata rakyat jelata terkejut dengan kehadiran YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kagum dengan sikap menyantuni rakyat.
BACA: Foto Yang di-Pertuan Agong Beratur Beli KFC Viral!
3. Menyantuni Gelandangan
YDP Agong berangkat menyantuni gelandangan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
YDP Agong turut berkenan mengurniakan sumbangan pek makanan kepada golongan terbabit yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan usia.
BACA: Agong Menyantuni Golongan Gelandangan
4. Masak Lauk Untuk Mangsa Banjir
Raja Permaisuri Agong terkenal dengan skil masakannya. Kemahiran memasak itu digunakan untuk membantu mangsa banjir terutama di Pahang terutama ketika musim tengkujuh.
Sikap Raja Permaisuri Agong yang merendah diri dan berjiwa rakyat itu sanggup menyinsing lengan baju semata-mata untuk ‘beraksi di dapur’ bagi memasak lauk-pauk bagi memastikan mangsa banjir mendapat makanan lazat dan mencukupi.
5. Penampilan Raja Permaisuri Agong Yang Manis Bertudung Litup Mendapat Pujian Penampilan Raja Permaisuri Agong yang sopan dan cantik bertudung litup telah mendapat perhatian rakyat.
Ternyata ramai yang menyukai penampilan terbabit sekali gus menjadikan Raja Permaisuri Agong lambang wanita Islam yang patut dijadikan ikutan!
Kebanyakan busananya merupakan hasil rekaan pereka fesyen terkemuka, Datuk Rizalman Ibrahim yang telah bekerjasama dengan baginda selama sudah 15 tahun.
6. Aktif Berpesatuan Bersama Rakyat
Raja Permaisuri Agong juga seorang yang aktif dalam persatuan yang merupakan salah satu caranya untuk sentiasa bersama rakyat.
Antara jawatan yang disandang Raja Permaisuri Agong dalam persatuan dan badan bukan kerajaan termasuk Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia serta merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Raja Permaisuri Agong turut menjadi Pengerusi Persatuan Badminton KDYTM Tengku Ampuan Pahang (Pertap), Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang(WI), Pemegang Amanah Yayasan Istana Abdulaziz (YIA) dan Penaung Diraja AP di Hong Kong.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live