Laman Utama
Satria Dewa: Gatotkaca Tayang 18 Ogos, Ramai Teruja Nak Tengok Yayan Ruhian
Selepas pecah panggung di Indonesia, filem adiwira yang diinspirasi daripada kisah legenda, Satria Dewa: Gatotkaca bakal menjengah ke pawagam tempatan 18 Ogos depan.
Pengarah Urusan Horizon FIlm Entertainment, Mohd Shahir Sulaiman berkata, melihatkan penerimaan filem tersebut yang membanggakan di Indonesia, dia yakin naskhah tersebut juga akan mendapat sambutan ramai di negara ini.
“Filem ini diangkat daripada siri kisah Gatotkaca ini merupakan karya segar yang merupakan legenda adiwira di Indonesia. Malah, filem ini juga berbeza terutama dari segi jalan cerita serta lakon layarnya.
"Selepas menerima sambutan luar biasa di Indonesia dan saya yakin, peminat filem tempatan terutama mereka yang gemarkan filem adiwira serta aksi pasti tidak sabar menonton Satria Dewa: Gatotkaca.
“Malah, salah seorang pelakonnya adalah Yayan Ruhian yang memang sudah mencipta nama di Hollywood. Saya yakin naskhah Satria Dewa: Gatotkaca ditunggu-tunggu oleh semua,” katanya.
Satria Dewa: Gatotkaca yang diterbitkan Satria Dewa Studio berkisarkan Yuda mencari pembunuh bersiri yang telah mengambil nyawa ibunya sendiri, Arimbi dengan bantuan rakan-rakannya.
Dalam pencarian tersebut, Yuda mula sedar dirinya mempunyai kuasa luar biasa dan menggunakan kelebihan itu untuk melindungi orang-orang yang tersayang serta mencari dalang pembunuhan bersiri itu.
Satria Dewa: Gatotkaca dibarisi pelakon handalan antaranya Rizky Nazar, Yasmin Napper, Fedi Nuril, Ali Fikry dan Yayan Ruhian
Tidak hanya di Malaysia, Satria Dewa Gatotkaca juga bakal ditayangkan di Amerika Utara apabila Well Go USA bertanggungjawab mengedarkan filem tersebut di situ.
Must-Watch Video