Laman Utama
“Saya Bukan Malaikat…” - Hana Ismail Sebak, Akui Terkesan Dakwaan Gugur Kerana Kifarah
Pengacara, Hana Ismail akui terkesan dengan fitnah dakwaan mengalami keguguran akibat kifarah oleh seorang wanita di media sosial yang tular baru-baru ini.
Menganggapnya sebagai ujian, Hana tidak menafikan dia berasa amat terkesan dengan tuduhan itu sehingga menjejaskan emosinya.
Menurut Hana, walaupun dua sudah bersedia untuk menempuhi pelbagai ujian selepas mengahwini pendakwah selebriti, Da’i Syed namun dia menyifatkan si pelaku itu menggunakan kesempatan waktu berduka untuk menyerang suaminya.
"Sejujurnya, saya tidak kisah. Apabila berkahwin saya memang bersedia dengan kemungkinan isu berbangkit seperti ini.
"Namun, waktu diambil oleh si pelaku untuk memuat naik video adalah kurang tepat lagi-lagi saya berada dalam fasa pemulihan.
"Secara fizikal memang nampak saya okey, tetapi saya masih lagi dalam fasa penyembuhan untuk emosi dan mental," katanya ketika ditemui Gempak.
Bagaimanapun kata Hana, dia bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat untuk melalui kisah sedihnya itu.
"Saya bukan malaikat. Tidak dinafikan memang saya mengalami fasa kesedihan dan kekecewaan.
"Memang sedih kerana kurang sebulan saya kehilangan anak dan menghadapi proses pantang. Naluri ibu sudah ada jadi saya rindu untuk hamil. Ditambah dengan situasi seperti ini banyak menganggu.
"Alhamdulillah ada suami, umi, abah, dan keluarga mertua yang memberikan sokongan. Orang ramai juga yang banyak mendoakan saya," ujarnya.
Terdahulu, Syed atau nama lengkapnya Syed Shah Iqmal Syed Mohamad Shaiful nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap dua orang wanita yang memfitnah isteri keguguran akibat kifarah rogol.
Untuk info, Hana dan Syed mendirikan rumah tangga pada 3 Disember tahun lalu dengan sekali lafaz di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur.
Must-Watch Video