VIRAL
"Saya Dah Okey, Tak Perlu Risau" - Selepas Episod 'Royan' Tidur Dalam Kereta, Luqman Faiz Kembali Stabil
Penyanyi yang popular dengan lagu Kepuraanmu, Luqman Faiz mengakui dia kini sudah kembali stabil dan memohon maaf atas kekusutan di media sosial usai konsert Big Stage 2019 baru-baru ini.
Jelas Luqman, 19, dia menyedari kelemahannya dan bersyukur dikelilingi individu yang sentiasa memberikan kata-kata positif buatnya.
"Hi, saya okey. Terima kasih atas kata-kata dan sokongan semua.
"Anda sentiasa melihat saya positif dan hiper di media sosial tetapi hakikatnya saya sangat kusut pada malam itu. Kita semua manusia lemah," tulisnya menerusi Instastories malam tadi.

Malam Ahad lalu, penyanyi muda itu mengundang kerisauan apabila memuat naik sepotong video live sedang menangis di dalam kereta sepulangnya daripada konsert Big Stage 2019.
Malah, menerusi akaun Twitternya, Luqman mengemas kini perasaannya yang sedang galau dipercayai akibat putus cinta.
"Kamu adalah satu kesilapan. Saya betul-betul perlukan pelukan sekarang ini, dunia seperti tunggang-langgang malam ini dan saya sudah tidak tertanggung lagi. Seseorang tolong bantu saya," tulisnya di ruang Twitter.

Peminat setia penyanyi itu mulai risau dan menulis kata-kata semangat untuk Luqman yang sedang bersedih.
Malah, pada malam terbabit, Luqman turut memadamkan seketika semua foto kecuali dua keping gambarnya ketika kecil dan paparan skrin daripada akaun Twitternya.
Menerusi laporan sebuah portal, Luqman menjelaskan dia gagal mengawal perasaan apabila berdepan masalah melibatkan cinta dan keluarga.
Luqman juga mengakui terpaksa mengambil keputusan untuk tidur di dalam kereta di hadapan dewan MBSA, Shah Alam selepas tamat konsert mingguan Big Stage 2019.
Terdahulu, Luqman difahamkan pernah digosipkan menjalin hubungan rapat bersama dua bintang Big Stage 2019, Fieya Julia dan Chaleeda.
Namun, masalah yang berlaku bukan berpunca daripada kedua-dua bintang Big Stage 2019 itu.
Must-Watch Video