Pelakon yang sedang meningkat naik, Anna Jobling membuat kejutan baru-baru ini apabila muncul menerusi klip video terbaharu Datuk Seri Rossa bagi lagu berjudul Bertengkar Manis.

Menurut Anna, menerima tawaran bagi membintangi klip video berkenaan merupakan satu pengalaman yang sangat mengujakan.

“Saya dengan Datuk Seri Rossa telah berkawan lama, jadi bila saya ke Jakarta dan Datuk ke Kuala Lumpur, kami tak akan lepaskan peluang untuk berjumpa.

“Jadi, apabila pertama kali ditawarkan untuk muncul dalam video muzik Bertengkar Manis, saya terus bersetuju.” katanya yang sangat mengagumi cara pembikinan dan proses video muzik di Jakarta.

Menjalani penggambaran di Jakarta pada Ogos lalu, pembikinan dan rakaman klip video Bertengkar Manis mengambil masa sekitar 24 jam.

Sementara itu, Rossa berkata, lakonan Anna dalam klip videonya sangat bagus selain sarat dengan emosi.

“Pemilihan Anna Jobling untuk klip video Bertengkar Manis ini adalah seperti yang saya bayangkan kerana perwatakan Anna sendiri.

“Lakonannya sangat bagus dengan ditunjukkan melalui perasaan yang penuh emosi, dan pasti akan membuat para penonton dapat lebih mendalami erti disebalik lagu tersebut” kongsi Rossa.

Hubungan persahabatan antara Anna dan Rossa bukanlah satu perkara yang baharu. Sebelum ini, kedua-duanya sering berkongsi momen di platform media sosial setiap kali bertemu sama ada di Malaysia mahupun Indonesia.

Namun, video muzik Bertengkar Manis ini merupakan kerjasama pertama antara mereka berdua.

Klip video Bertengkar Manis boleh distrim di platform Youtube bermula 28 September lalu.

BACA: Rossa Menangis Gara-Gara Anna Jobling & Omar Daniel…​