Pelakon, Che Puan Juliana Evans mengatakan dirinya masih lagi orang yang sama walaupun mempunyai perubahan status selepas bergelar isteri kepada Tengku Sharuffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj yang merupakan kerabat diraja Johor dan Selangor.

Menurut Juliana, walaupun berstatus Che Puan namun tidak banyak perkara yang berubah tentang dirinya.

“Saya rasa tidak banyak perkara berubah tentang diri saya, maksudnya mungkin adalah beberapa perkara melibatkan protokol yang perlu saya ikut.

“Kalau berbicara mengenai diri, sudah tentu lebih matang lagi pun usia juga dah mencecah 30-an tetapi saya masih lagi suka berdikari.

“Saya tetap orang yang sama, kadang-kadang saya lupa sebab dah biasa sangat hidup berdikari tapi adakalanya suami beri peringatan.

“Kalau bahagian protokol, itu adalah apabila saya bersama dengan suami dan juga keluarganya, kalau tidak saya hanya macam biasa,” katanya kepada Gempak.

Juliana ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program-Program Raya Awesome TV 2022 bertempat di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada Rabu.

Juliana juga hadir ke majlis dengan penampilan sederhana namun tetap manis dan cantik sesuai dengan statusnya sebagai seorang isteri.

Selain itu Juliana juga kelihatan tidak diiringi oleh pengawal peribadi dan tersenyum manis sewaktu di sapa pihak media, tutur katanya juga lembut dan sopan.

Berbicara mengenai soal kerjaya, Juliana memaklumkan masih lagi menerima tawaran berlakon dan suami juga memberikan sokongan penuh terhadap minatnya.

“Saya masih lagi suka berkerja dan mahu mempunyai pendapatan sendiri, lagi pun berlakon adalah minat saya.

“Tidak dinafikan memang ada banyak struggle untuk menjadi seorang pelakon, saya tahu dan saya sudah pun melalui semua kesusahan itu dahulu.

“Jadi saya lebih bersedia sekarang berbanding dahulu, ramai juga yang membantu dan kadang-kadang saya tetapkan peraturan untuk diri sendiri.

“Sebagai contoh 12 jam sahaja untuk berkerja, saya tahu saya punya limit sebab dah melaluinya menerusi pengalaman.

“Adakalanya saya akan beritahu pihak produksi terlebih dahulu dan mereka akan faham. Jadi saya tidak akan terlalu paksa diri saya,” ujarnya.

Bagaimanapun Juliana menegaskan tidak ada layanan istimewa diberikan atas dasar status dan wanita cantik ini lebih selesa begitu.

“Saya masih lagi dapat tawaran berlakon, kalau dapat watak yang baik, pengarah best, kualiti cerita yang bagus jadi kenapa tidak saya lakukan kan.

“Layanan istimewa di set penggambaran? Tak adalah mereka layan saya macam biasa sahaja. Pada saya itu sudah memadai,” katanya tersenyum manis.

Juliana dan Tengku Sharuffuddin telah diijabkabulkan pada 30 April 2017 dan hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah.