Hiburan
“Saya Masih Siuman Dan Tak Akan Ketengahkan Isu Bunuh Diri” - Aina Abdul Mohon Maaf
Penyanyi Aina Abdul memohon maaf kepada sesetengah pihak yang merasakan persembahan lagu Sumpah pada malam Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) sebagai keterlaluan.
Menurut Aina, dia masih siuman dan tidak akan sesekali mengangkat isu bunuh diri.
“Pertama sekali, saya minta maaf kalau mesej yang saya nak sampaikan disalah tafsir, melampaui batas ataupun keterlaluan untuk sesetengah orang.
"Saya tak boleh halang orang lain bercakap tapi apa yang saya nak tegaskan isu darah tu bukanlah isu bunuh diri.
“Sebelum ini, saya sendiri sering ketengahkan isu kesihatan mental, depresi dan tidak akan sesekali menggunakan pentas AJL34 untuk mengajak orang buat sesuatu yang salah,” jelas Aina kepada Gempak.
Aina ditemui ketika majlis sidang media AJL34 yang diadakan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Ahad.
Tambah Aina lagi, dia tidak menunjukkan sebarang aksi kelar leher tetapi itu hanyalah ekpresi dan gayanya ketika melontarkan nyanyiannya.
“Sumpah Aina Abdul bercerita mengenai hati wanita yang terluka jadi darah itu adalah simbolik kepada hati yang tersakiti.
"Gimik darah tersebut adalah apa yang saya tafsirkan apabila menterjemahkan hati wanita tersebut ke dalam lagu.
“Baju putih itu merupakan inspirasi daripada Lady Gaga sewaktu Met Gala 2019 tetapi persembahan itu simbolik, kami brainstorm apa yang nak diketengahkan.
“Kalau nak guna setitik darah, tak nampak pula. Jadi alang-alang kita nak sampaikan sesuatu statement, kita kena gunakan darah yang lebih banyak.
“Pada saya, kalau saya menyanyi sahaja, tidak cukup apa yang saya mahu ekspresikan rasa sakitnya hati tu,” jelas Aina lagi.
Terdahulu, persembahan Aina telah menarik perhatian Public Health Malaysia kerana dikatakan telah melanggar Guidelines For Media Reporting on Suicide yang melarang sebarang bentuk adegan memcederakan diri atau memudaratkan diri.
Must-Watch Video