Laman Utama

“Saya Memang Rindu Berlakon, Tapi…” - Mira Filzah

gempak
Shahrin Zulkifle
15/12/2022
00:00 MYT
Sponsor Banner
“Saya Memang Rindu Berlakon, Tapi…” - Mira Filzah

Setelah hampir setahun tidak muncul dalam mana-mana naskhah kerana memberi tumpuan kepada anak dan keluarga, pelakon Mira Filzah mengakui rindu untuk kembali berlakon semula.

Meletakkan anak sebagai keutamaan, kata Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, tahun 2023 bakal menjadikan dirinya kembali aktif semula dalam bidang seni lakonan.

Malah dedahnya, beberapa tawaran sudahpun diterima sejak daripada selepas melahirkan puteranya, Wan Khair Amir pada Mei lalu.

“Saya memang rindu berlakon, tapi sebab sekarang dah ada anak, saya akan tengok waktu yang paling sesuai.

“Anak adalah keutamaan, bagaimanapun sekarang saya dah ada pembantu, saya dah susun secara baik pengurusan anak, next dah boleh shooting.

“Insya-Allah tahun depan, 2023 jika ada watak yang sesuai saya akan mula berlakon semula.

“Tawaran memang ada diterima, malah lepas pantang saya dah dapat. Tahun 2023 akan menjadi tahun saya untuk kembali berlakon kembali,” katanya.

Mira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program RR (Rizman Ruzaini) Empire yang berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur pada Rabu sekali gus memperkenalkan aktres berkenaan sebagai muse kepada koleksi hijab terbaharu dua pereka hebat tersebut.

Mengulas mengenai perasaan dilantik sebagai muse, Mira melahirkan rasa syukur selain mengaku sudah menjadi pengguna setia jenama Rizman Ruzaini sejak dahulu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dipilih jadi muse untuk koleksi tudung terbaharu Rizman Ruzaini.

“Sebenarnya saya memang pengguna produk-produk Rizman Ruzaini, beberapa koleksi mereka saya pernah sarungkan. Malah baju wedding saya pun daripada mereka. Bila dapat jadi muse lagi-lagi untuk koleksi tudung baharu ini alhamdulillah, memang senang dipakai dan selesa untuk digayakan,” tambahnya.

Sementara itu, ditanya mengenai watak yang akan dibawa selepas bergelar seorang isteri dan ibu, Mira menjelaskan ia tidak merubah apa pun. Malah terbuka untuk menerima apa sahaja jenis watak yang ditawarkan.

“Status sebagai seorang isteri dan ibu ia tidak merubah apa-apa, saya masih terbuka untuk apa jua watak. Tidak limit apa-apa atau pun perbezaan.

“Tapi tetap tengok offer yang diberikan, saya akan melihat total hari shooting, lokasi di mana, semua itu akan dititikberatkan dan saya akan buat keputusan selepas itu,” tambahnya.

Untuk info, Mira telah mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan Wan Emir Astar pada 3 September 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Wan Khair Amir yang kini berusia tujuh bulan.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live