Pernah menjadi mangsa lelaki tidak berahlak, pelakon Tiz Zaqyah amati watak sebagai Lara dalam drama Liar.

Menurut Tiz Zaqyah, pengalaman ketika menerima gambar lucah dari individu yang tidak dikenali beberapa kali dapat digunakan dalam drama ini.

“Masa baru dapat skrip tu, saya baca terus terasa jalan ceritanya, sebab berkaitan kisah benar yang saya pernah hadapi.

“Saya pernah dapat gambar kon*k pagi-pagi dekat DM Instagram.

“Bila saya masuk set, dialog yang saya guna untuk berlakon, sama dengan ayat yang saya guna juga semasa saya jadi mangsa di dunia realiti sebenar.

“Jadi bila watak saya dalam ini sangat berkait rapat denga napa yang berlaku, ini antara peluang yang saya ada untuk bersuara dan mempertahankan hak wanita,” kata pelakon cantik manis itu.

Tiz ditemui ketika di set pengambaran drama bersiri premium Astro Shaw, Liar yang akan bersiaran sebanyak 12 episod.

Pelakon kelahiran asal Kuala Lumpur itu menambah, pelaku wajar dikenakan tindakan sewajarnya dan semua pihak perlu sedar dengan situasi ini untuk lebih berhati-hati.

“Takkan mereka boleh terlepas? Jadi kami yang perempuan ini terpaksa terima sahaja ke dengan apa yang terjadi, dengan apa yang kami lihat?

“Kami yang melihat ini kena tanggung, lepastu pelaku tu boleh hidup senang lenang di luar sana.

“Kalau jadi pada anak dan kakak kamu macam mana?

“Sampai bila perkara sebegini akan terus jadi, sekarang sudah tahun 2022, kita perlu educate semua orang.

“Apa yang saya ingin sampaikan, wahai wanita selagi kamu boleh lawan kamu lawan.

“Kena berdiri untuk pertahankan hak kamu sebagai seorang wanita,” kata Tiz dengan tegas.

Selain Tiz, nama-nama pelakon hebat tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Nazrief Nazri dan Ezzaty Abdullah antara wajah-wajah yang akan membintangi drama ini.