Pelawak dan penyampai radio Shuib akui terkesan apabila ramai yang hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Shuib berkata, faham dan dapat merasakan kepayahan mereka mencari pekerjaan memandangnya pernah berada di tempat mereka satu ketika dahulu.

“Saya dah melaluinya dahulu. Datang temuduga kerja jauh-jauh tapi akhirnya tak dapat. Bila melihatkan kesungguhan mereka, hati jadi sayu.

Ya Allah ,,, tak sangka interview #BubbleBee di hujani dgn ratusan calon yg datang...Semoga ade rezeki kalian bersama BubbleBee,,InsyaAllah lebih dr 100 orang yg akan bersama dgn kami nanti...Terima kasih diatas support yg luar biasa pd @bubblebeemalaysia_hq ...

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu) on

“Kalau boleh saya mahu mereka semua dapat pekerjaan tapi apakan daya, peluang juga terhad. Saya doakan urusan mereka dipermudahkan dan diluaskan rezeki.

Tambah Shuib, dia gembira sekiranya ada yang sudi untuk bekerja dengannya memandangkan jenama minuman BubbleBee bakal membuka enam cawangan baharu sedikit masa lagi.

“Saya menyeru kepada rakan-rakan artis atau orang perseorangan yang lain yang mempunyai modal tapi tak tahu nak berniaga apa, datanglah kepada kami.

“Setidakya mereka boleh berniaga di samping membuka peluang pekerjaan baharu buat orang lain. Ini sebenarnya kepuasan sebenar bila berniaga dan bukannya sekadar mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib bersyukur apabila ibu pejabat BubbleBee yang terletak di Puchong, Selangor diserbu hampir 300 orang yang hadir menghadiri temuduga.

Kesungguhan mereka menyebabkan dia terharu bercampur sayu, tambahan lagi yang hadir temuduga pelbagai jawatan itu bukan sahaja dari Kuala Lumpur, tetapi juga dari negeri lain.

“Saya sendiri tidak menyangka sambutan yang diterima sangat luar biasa.

“Kalau 300 orang datang dan masing-masing duduk dengan jarak 1 meter, 3 kilometer juga tu,” katanya yang mengadakan temuduga terbuka selama dua hari bermula 10 Jun lalu.