Puteri Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah akui kecewa selepas melihat buli siber terhadap seorang pelajar sekolah rendah yang tular baru-baru ini, hanya kerana membawa mangkuk tingkat ke sekolah.

Tengku Zatashah berkata, beliau kecewa apabila membaca komen-komen negatif yang dilemparkan kepada pelajar tersebut dan ibunya.

“Sedih melihat komen-komen negatif dan perbuatan buli siber terhadap kanak-kanak perempuan itu tidak wajar dan kejam.
“Mereka tidak patut buat begitu. Di dalam waktu sukar seperti Covid-19 ini kita sepatutnya berbuat kebaikan, bersatu hati dan menunjukkan rasa kasih sayang,” katanya.

Hantaran tersebut dibuat Tengku Zatashah di laman sosial Instagram (IG)nya, pada Khamis dan rata-rata pengikut bersetuju dengan pandangan beliau.

Tambah Tengku Zatashah lagi, beliau juga membawa mangkuk tingkat ke mana-mana sahaja dan tidak pernah berasa malu.

Beliau juga digelar ‘gadis mangkuk tingkat’ oleh teman-teman sekeliling disebabkan perkara tersebut.

“Saya bangga melihat anak kecil tersebut dibekalkan mangkut tingkat oleh ibunya ke sekolah. Saya juga bawa mangkuk tingkat sendiri ke mana sahaja saya pergi.

“Ke bazar Ramadan, ke pasar malam dan ke trak makanan. Dah ramai orang bawa mangkuk tingkat sekarang ini.

“Malah saya dipanggil ‘the girl with the tiffin’. Jadi berbanggalah adik, kami semua sayang anda,” katanya.

Beberapa hari lalu tular di media sosial foto seorang pelajar membawa mangkuk tingkat dengan pelbagai lauk-pauk dibekalkan ibunya.

Pelajar tersebut kemudiannya menjadi mangsa buli siber wargamaya yang mempersendakan kegigihan ibunya kerana menyediakan makanan di dalam mangkuk tingkat tersebut.

A post shared by Zatashah (@zatashah)