HIBURAN
"Saya Pun Tak Tahu Ada Musuh Atau Tak" - Che Ta
Pelakon sensasi Rozita Che Wan tidak mengambil hati terhadap kecaman netizen berhubung kontroversi hutang dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), kerana baginya ramai yang masih belum mengetahui situasi sebenar.
BERITA TRENDING: “Sejak Saya Terkait Isu Panas, Banyak Brand Dah Confirm, Tapi Berlalu Sepi” - Rozita Che Wan
Rozita, 52, atau lebih dikenali sebagai Che Ta, menyedari bahawa mereka yang sebelum ini mengkritiknya kini mula memberikan sokongan selepas mengetahui kebenaran.
“Saya rasa kalau mereka tak tahu kebenarannya mereka akan terus bercakap. Sama macam kita apabila mengetahui sesuatu isu yang belum sahih.
“Saya okey sahaja orang nak cakap apa pun. Malah netizen inilah yang sekarang datang bagi semangat. Saya yakin selagi orang tak tahu, mereka akan terus bercakap,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Hikayat Ariani Karya Seindah Busana 2025, baru-baru ini.
BERITA TRENDING: Ariani Hasilkan 300,000 Pasang Baju Raya, 300 Pilihan Hijab Tahun Ini! Che Ta Masuk Jadi Muse
Ketika ditanya mengapa tidak menutup ruangan komen di media sosial sepanjang isu ini diperkatakan, Che Ta menjelaskan dia memilih untuk membiarkan sahaja kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih tegang.
“Kita ini hidup dalam demokrasi, setiap orang berhak bersuara. Walaupun mereka bercakap fasal saya sedangkan tak tahu sisi saya yang lain, terpulanglah kepada mereka.
“Itu hak mereka untuk bercakap apa saja sebab kita tutup pun komen, nanti orang sangka kita bersalah sedangkan saya tidak buat salah dengan sesiapa.
“Cuma mungkin apabila tahu kebenaran, baru mereka sedar dan ingat apa yang pernah dikatakan sebelum ini. Saya sendiri pun tak nak menegakkan benang yang basah,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Che Ta turut tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang cuba menjatuhkannya dengan membangkitkan isu ini.
“Saya tak tahu. Kalau nak kata saya ada kenalan dalam kalangan orang kenamaan, memang tak ada kaitan pun.
“Musuh pun saya tak pasti ada atau tidak. Tapi siapa tahu, kadang-kadang kawan sendiri pun boleh jadi musuh? Saya sendiri tak pasti,” katanya lagi.
BERITA TRENDING: Kontroversi Hutang Mara, Rakan Jauhkan Diri Dari Che Ta - “Apabila Allah Beri Ujian, Kita Boleh Lihat Siapa …”
Pada 10 Disember lalu, kediaman Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya dilaporkan diserbu oleh pihak MARA bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman hampir RM1 juta.
Namun, pelakon drama Kiah Pekasam ini mengesahkan bahawa dia kini sudah melangsaikan segala hutangnya dengan agensi berkenaan.