Penyanyi Mamat Exist mengakui kesal dan memohon maaf kepada semua pihak berikutan penangkapannya berhubung isu dadah baru-baru ini.

Menurut Mamat, perkara yang berlaku adalah diluar kawalannya dan menyerahkan tindakan lanjut kepada pihak polis untuk mengambil tindakan.

“Saya betul-betul mintak maaf dengan apa yang terjadi dan cuba buat yang terbaik pada masa akan datang.

“Saya rasa apa yang berlaku adalah amat mendukacitakan dan sekarang ini, saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

“Buat masa sekarang, saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan berhubung perkara yang berlaku kerana kalau saya nak cerita panjang lebar takut kenyataan saya akan bercanggah serta menganggu siasatan.

“Saya anggap perkara itu sebagai satu iktibar untuk diri saya supaya menjadi seorang yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada Gempak.

Mamat berkata demikian pada majlis sedang media bersama Exists di Alila Bangsar sebentar tadi.

Terdahulu, Mamat ditahan polis atas kesalahan dadah pada Ahad malam dan dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis sekitar pukul 4.30 petang Selasa.

Penahanan Mamat, 41, itu difahamkan ada kaitan dengan kesalahan dadah jenis syabu semasa menunggang motosikal bersama seorang rakannya di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling di Johor Bahru, pada Ahad lalu.

Penahanan kedua-dua mereka pada 11.30 malam itu dilakukan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 di kawasan terbabit.

Serbuk putih disyaki dadah itu ditemui dalam dompet penyanyi berkenaan.

Konsert Exists Reunion ini buat pertama kalinya dalam sejarah menggabungkan semua formasi asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalist iaitu Mamat dan Ezad.

Konsert Exists Reunion bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September 2019 dan Mes Theatre at Media Corp, Singapura pada 5 Oktober ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket Konsert Exists Reunion ini boleh melayari laman web www.mytiket.asia.

Tiket dijual pada harga RM 700, RM360, RM260, RM160 dan RM130.