Ratu irama Malaysia, Noraniza Idris menjelaskan hubungannya dengan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza masih baik.

BACA: "Saya Harap Peminat..." - Isu 'Penyanyi Nombor 1', Ini Respon Siti Nurhaliza

BACA: "Penyanyi Asia Nombor 1 Lukis!" - Kak Ani Kongsi Karikatur Air Tangan Allahyaham Sudirman, Ada Yang Panas Hati?


Kata Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, dia enggan memanjangkan cerita kerana risau peminat memanipulasi keadaan hingga menjejaskan keharmonian sesama mereka.

"Saya dengan Siti tak ada apa-apa masalah. Sebenarnya saya malas nak komen sebab nanti orang kata saya menangguk di air keruh.

"Mentang-mentanglah saya dah sendu... Saya pun tak suka nak bergaduh dengan budak-budak (peminat) sekarang. Ini bukan permainan saya," jelasnya.

Akaun Instagram dan Twitter kecoh apabila pelantun lagu Dikir Puteri itu memuat naik foto karikatur bersama Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan melabelkan penyanyi itu sebagai ikon nombor satu negara dan Asia.

Lantas, perkara itu disalah ertikan segelintir peminat hingga menyifatkan entri Kak Ani adalah cubaan provokasi.

"Saya tiada niat pun nak memprovokasi sesiapa tetapi ia sebagai satu tanda kenangan dan penghargaan kepada Allahyarham (Sudirman).

"Itu gambar lama yang dihantarkan oleh kenalan saya jadi tak salah untuk saya kongsikan foto tersebut, lagipun itu akaun Instagram peribadi saya," tambahnya.

Akui terkilan dengan tindakan agresif segelintir peminat artis tertentu yang menghamburkan kata-kata negatif, tambah Kak Ani perkara itu sedikit sebanyak mencetuskan kemarahannya.

"Saya terkilan dengan sikap sesetengah peminat yang suka mengapi-apikan keadaan walaupun apa yang saya kongsikan itu bersifat peribadi.

"Saya tak salahkan mana-mana pihak apabila ada peminat terlalu taksub dan menulis komen negatif pada artis lain.

"Saya juga percaya ada antara pengguna media sosial itu hanyalah akaun palsu yang sengaja cuba memanaskan keadaan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kak Ani bakal muncul dalam konsert Malai Solo Noraniza Idris in Concert pada 11 dan 12 September di Istana Budaya.