Pelakon Tony Eusoff mengakui melakonkan watak sebagai suami miang dan takut isteri menerusi drama bersiri Dukun Diva agak mencabar.

Tony berkata, itu kali pertama dia melakonkan watak tersebut selain menjadi scammer dalam urusan jual beli tanah.

“Saya melakonkan watak sebagai seorang usahawan dikenali sebagai Zulkarnain Lim Abdullah, isteri kepada jutawan kosmetik Datuk DD yang dilakonkan Emelda Rosemilla.

“Zulkarnain atau Zul ini di luar seorang yang hebat dan dikenali ramai. Walaupun sudah beristeri dan ada anak dia kaki perempuan dan miang.

“Sudahlah miang, scammer pula tu! Tapi Zul ni semacho-macho dia, dengan bini dia kalah! Ini kali pertama saya diberi watak begini dan agak mencabar jugalah.

“Saya tak macam Zul, itu sudah tentu…Nak jadi miang tu bukan senang, walaupun nampak macam senang,” katanya ketawa.

Bagaimanapun menurut Tony, bekerja sama di bawah pengarahan Ariff Zulkarnain sangat menyenangkan.

“Walaupun Ariff ini pengarah muda dan baru, tetapi dia ada karisma yang membuatkan kami di set sangat menyenangi beliau.

“Beliau juga tidak menyekat kreativiti pelakon untuk ‘ad-lip’ asalkan ia menjadi untuk menghidupkan watak masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Tony berharap agar penonton dapat menerima drama yang mengangkat kisah 'female con artist' dan 'anti-heroes' ini.

“Di negara kita, jarang kisah seperti ini diangkat. Jadi saya kira, Ariff seorang yang berani kerana hadir dengan karya dan genre berbeza.

“Selain terdapat banyak elemen di dalam Dukun Diva seperti elemen drama, komedi, suspen, aksi dan penyiasatan.

“Terdapat banyak juga isi tersirat dan tersurat walaupun disampaikan dalam bentuk komedi. Saya harap penonton dapat menerima drama ini kerana bagi saya, ia lain dari yang lain,” katanya.

Dukun Diva sebuah drama bersiri Astro Originals yang menggabungkan barisan pelakon baru dan lama seperti Nadia Aqilah, Emilda Rosemilla, Adlin Aman Ramlie, Eyka Farhana, Siti Khadijah Halim Kahoe Hon dan Aloy Paradoks.

Kepada yang terlepas menonton episod 1 hingga 3 Dukun Diva: They Put Sham In Shaman, boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

Apakah yang berlaku dalam episod 4: ‘Kita Family’ minggu hadapan? Katanya Che Yah menyamar jadi pekerja Datuk Saddiq? Saksikan di Astro Citra jam 9 malam ya!

Dukun Diva menjalinkan kerjasama bersama jenama lilin beraroma, Lampu Cherita, dan pengedar coklat tempatan, Love 18C bagi menghidupkan keunikan setiap karakter utama dalam drama Astro Original ini.

Cenderahati drama Dukun Diva edisi terhad ini boleh didapati di laman rasmi Lampu Cherita, www.lampucherita.com dan Love 18C, www.love18c.com. Istimewa untuk pelanggan Astro, diskaun tambahan boleh didapati melalui website Astro Rewards tertakluk pada terma dah syarat.