Hiburan

"Saya Tak Pernah Anggap Diri Saya Terbaik" - Misha Omar

gempak
Amri Hassan
10/03/2024
11:13 MYT
Sponsor Banner
"Saya Tak Pernah Anggap Diri Saya Terbaik" - Misha Omar
Sebagai penyanyi yang mementingkan kejujuran dan kesempurnaan dalam berkarya, Misha Omar begitu teliti selain selektif dalam pemilihan lagu untuk memastikan karya yang dihasilkan diterima umum, seterusnya menjadi rujukan dan berdaya tahan merentas masa.

BERITA TRENDING: Mengenangkan Nasib Anak Pale****, Misha Omar Menangis Ketika Bangun Tidur - “Suami Sampai Nasihat…

Lantaran itu, penyanyi kelahiran Kelantan berusia 42 tahun tersebut tidak pernah sesekali mengeluh, meskipun terpaksa menanti lama kerana percaya, penantian panjangnya itu bukan sesuatu yang sia-sia.
Hampir empat tahun tanpa single terbaru selepas kemunculan Tanpa Rela pada Ogos 2020, kelahiran Masihkah Ada Rasa Itu? merungkai segala keresahan dan persoalan peminat yang sentiasa mendambakan buah tangan terbaru daripadanya.

BERITA TRENDING: All Stars Gegar Vaganza: Naqiu Mohon Maaf Aksi Mesra, Pegang Tangan Misha Omar - "Ia Terjadi…

Bakal diperdengarkan kepada umum di semua platform muzik bermula 1 Mac 2024, Masihkah Ada Rasa Itu? menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena menerusi Sampai Bila, enam tahun lalu.
"Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu tersebut terus ke depan.
"Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.
"Sepanjang empat tahun itu, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu?," katanya.

Kerjasama Sharon Paul, Syafinaz Selamat

Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.
Misha menyifatkan Masihkah Ada Rasa Itu? yang liriknya ditulis oleh Que Afiq dan ia juga merupakan hasil kolaborasi bersama dua syarikat rakaman yang amat gah di Malaysia, Sony Music Entertainment Malaysia dan Alternate Records Sdn Bhd menjadikan karya itu lebih ringan dari sudut penceritaannya berbanding karya terdahulu seperti Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan dan Sampai Bila.

BERITA TRENDING: "Tengok Muka Depan Cermin"- Misha Omar Tempelak Netizen Hina Wajah Nadeera Macam Bab*

Namun, akui Misha, Masihkah Ada Rasa Itu? tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan lagu tersebut.
"Misha Omar dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk mengakali emosi tatkala menyampaikan lagu itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.
"Lagu ini membawa pendengar terkenang perkara yang sudah berlalu, namun masih belum dilepaskan sepenuhnya. Saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik," katanya.

Ulangi kecemerlangan Sampai Bila

Akur ramai pasti mengharapkan kolaborasi terbarunya bersama Sharon itu mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar Sampai Bila, Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.

BERITA TRENDING: Misha Omar Terkejut Lagu Miliknya Usia 16 Tahun Masuk Carta ERA: “Ada Saja Jalan Allah Bagi…”

"Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya. Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.
"Apa yang dapat saya katakan, sentuhan Sharon mempunyai satu sisi yang dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar lagu ciptaannya. Sebagai komposer, Sharon sangat istimewa kerana mempunyai kelebihan itu," katanya.

Seperti berada dalam dewan peperiksaan

Berterima kasih kepada Sharon yang banyak memberinya dan Syafinaz kebebasan dalam mewarnakan cara penyampaian Masihkah Ada Rasa Itu?, Misha mengakui, berdepan debaran yang sukar diungkapkan ketika melangkah ke studio rakaman.
Dia sentiasa berasakan dirinya seperti kali pertama memasuki studio rakaman, meskipun sudah terbiasa dengan suasana ketika proses rakaman berlangsung.
"Saya seperti berada dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan berbeza untuk setiap penyanyi.
"Sharon dan Syafinaz banyak membantu mententeramkan perasaan saya sepanjang proses rakaman berlangsung. Sebagai komposer, Sharon begitu memahami dan sentiasa memberikan kata-kata semangat.
"Situasi itu mengingatkan saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Saya tidak pernah anggap diri sebagai yang terbaik. Malah, kekurangan yang ada mendesak saya supaya sentiasa memburu dan menggali ilmu untuk terus memperbaiki diri," katanya.
‘Masihkah Ada Rasa Itu?’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify,YouTube, dan YouTube Music.

PILIHAN PEMBACA: "Adakalanya Mental Saya Koyak"- Misha Omar Hati-Hati Berkongsi Di Media Sosial

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024