Penyanyi Misha Omar melahirkan rasa syukur dan terkejut selepas melihat salah satu lagu popularnya, Sembunyi berada di dalam carta ERA atau Top 10 Most Streamed Malay Singles In Malaysia meski sudah berusia 16 tahun.

Sembunyi kembali menjadi siulan dan digemari selepas menjadi trend dalam aplikasi TikTok.

“Saya sangat terkejut apabila mengetahui generasi masa kini kenal dan tahu dengan lagu Sembunyi kerana ia telah berusia 16 tahun. Lebih rasa terharu apabila melihat Sembunyi berada dalam carta Top 10 Most Streamed Malay Singles In Malaysia.

“Tapi saya bersyukur kerana Sembunyi digemari dan untuk mengumpul peminat baharu terhadap lagu lama membuktikan bahawa karya ini bersifat evergreen,” ujar Misha kepada Gempak.

Tambah penyanyi berusia 41 tahun tersebut, pada awalnya beliau tidak sedar dan tahu lagu yang didendangkan bersama Andy Flop Poppy itu kembali popular.



Hal ini lantaran Misha tidak mempunyai akaun TikTok.

“Saya memang tidak tahu lagu Sembunyi jadi trend di TikTok kerana tidak punya akaun TikTok. Peminat yang beritahu dan saya sangat menghargainya kerana ada saja jalan Allah bagi supaya orang tahu dan kenal lagu saya walaupun lagu tersebut sudah ‘tua’.

“Ini juga menjadi bukti media sosial ada kebaikan kerana mampu menjadi pengawet lagu supaya ia bersifat evergreen,” kata Misha lagi.

Sembunyi yang dihasilkan oleh komposer Aidit Alfian dengan liriknya menerima sentuhan daripada penulis lirik hebat yang telah meninggal dunia, Loloq dilihat berada di kedudukan 10, Top 10 Most Streamed Malay Singles In Malaysia.

Bukan hanya popular pada masa kini, Sembunyi yang dilahirkan pada tahun 2007 sudah mencetak banyak sejarah dan pencapaian tersendiri.

Sembunyi antaranya menjadi finalis Anugerah Juara Lagu ke-22 dalam kategori Pop Rock dan finalis Pertandingan Akhir Hits 1 Musim ke-5, RTM.