Meraih tempat naib juara dalam pertandingan Mentor Legend pada tahun 2014, karier nyanyian Aina Abdul tidak bergerak dengan baik selepas tamatnya program realiti itu.
Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 26, pernah berasa tertekan kerana perjalanannya dalam bidang nyanyian bergerak perlahan.
"Saya tak tahu dimana silapnya tetapi kerjaya nyanyian saya malap selepas tamatnya program terbabit.
"Saya akui, saya pernah rasa sedih, tertekan dan rendah diri apabila melihat rakan-rakan lain mara ke hadapan sedangkan saya berada di tempat sama," kata Aina.
Mendapat kekuatan untuk bangkit kembali membina nama dalam bidang muzik, Aina muncul dengan single terbaru yang berjudul Sumpah.
"Pengalaman saya ketika mengalami momen menyedihkan itu saya gunakan untuk bangkit dengan Sumpah.
"Biarpun lambat, saya tak kisah kerana saya yakin dengan bakat yang dipertaruhkan.
"Sebelum ini, single bahasa Inggeris saya, Shadow mendapat tempat di hati peminat muzik urban dan saya muncul pula dengan Sumpah.
"Saya berharap lagu ini akan dapat memperkenalkan nama saya dalam industri dan membuka mata orang ramai untuk melihat bakat yang saya pertaruhkan," katanya lagi.
Aina ditemui di majlis pelancaran single Sumpah di The Majapahit, Mont Kiara pada Selasa.
Selain melancarkan single, Aina juga melancarkan muzik video Sumpah yang menampilkan pelakon dan pengacara Qi Razali.
Sumpah yang dicipta sepenuhnya oleh Aina sendiri boleh didengari di semua pelantar digital seperti Spotify, Joox, iTunes, Apple Music dan YouTube