Penyanyi Adira Suhaimi mengakui sanggup tidak keluar rumah demi menjaga keselamatan dan kesihatan anak-anaknya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Menurut Adira dia akur untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh negara.

“Alhamdulilah saya dan anak-anak sihat di rumah kerana untuk keadaan sekarang ni bukan sahaja anak-anak, malah diri saya sendiri tidak galakkkan untuk keluar jika tiada hal penting atau memaksa.

“Saya sangat mematuhi arahan ketika PKPB ini, saya tidak akan rentas daerah atau negeri dan hanya duduk di rumah sahaja.

“Saya takut sampai macam tu sekali kerana ada anak-anak kecil yang sangat berisiko tinggi terdedah dengan penyakit berbahaya seperti Covid-19. Jadi perlu fikirlah itu dulu sebelum lakukan apa-apa.

“Malah saya sangat selesa sahaja untuk menjalani kehidupan ini dengan norma baharu,” katanya kepada Astro Gempak yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Adira yang menjadi isteri kedua kepada Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red itu mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu Anggerik, 3, Assan, 2, dan Anggun, berusia setahun.

Tambah Adira lagi, dia bersyukur suaminya juga tidak perlu merentas daerah untuk ke rumahnya dan madu, Sharifah Norshafilla Hassim atau Datin Red.

“Alhamdulilah suami saya pun sihat dan setakat ini dia tidak perlu pun merentas daerah atau negeri kerana kami (bersama madu) tinggal berdekatan sahaja,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan terbaharu, Adira kini muncul dengan single Maaf yang sudah mula dimainkan di corong-corong radio.