Laman Utama

“Saya Terkejut” - Asyraf Dasley Harumkan Nama Negara Lagi! Kejayaan Kedua Di Pentas Dunia?

gempak
Hanafis Haris
16/01/2022
02:04 MYT
Sponsor Banner
“Saya Terkejut” - Asyraf Dasley Harumkan Nama Negara Lagi! Kejayaan Kedua Di Pentas Dunia?

Setelah berjaya mengukir nama di peringkat dunia sebaik memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Face of Asia 2020 (FOA 2020), peragawan negara, Asyraf Dasley terus melakar sejarah di pentas peragaan antarabangsa.

Terkini, Asyraf atau nama penuhnya Muhammad Asyraf Mohd Dasli, 30, yang menjadi wakil tunggal Asia telah diumumkan naib juara bagi program pencarian model antarabangsa iaitu Models Culture's Next Top Model 2021 (MCNTM 2021) yang dianjurkan secara maya.

"Alhamdulillah, sejak menjadi peragawan pada 2015, rezeki saya dalam dunia fesyen dan peragaan semakin melimpah-ruah.

"Kejayaan FOA 2020 dilihat membuka pintu yang luas untuk saya melebarkan sayap dalam bidang ini dan atas faktor itu, saya ditawarkan untuk menyertai MCNTM 2021 pada penghujung tahun lalu.

"Setelah kesemua peserta dari seluruh negara mendaftarkan diri, saya terkejut apabila mendapat tahu bahawa saya adalah satu-satunya model dari Malaysia yang berjaya meloloskan diri dalam acara tersebut.

"Tambah mengejutkan, tiada siapa pun dalam kalangan peserta berasal dari Asia dan sebaik menyedari persaingan datangnya daripada model-model benua lain, perasaan gementar makin menjadi-jadi.

"Ini kerana, telah terbukti di pentas peragaan dan fesyen dunia, majoritinya wakil selain dari Asia berjaya mendominasi lapangan ini, apatah lagi dari Malaysia yang boleh dibilang dengan jari," katanya berbangga menyarung 'jersi' Malaysia.

Pertandingan bertaraf global itu menyaksikan peragawati wanita dari Hungary, Eszter Egeto diangkat selaku juara, manakala tempat ketiga menjadi milik peragawan Poland, Soufiane Belghmi berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan pada 7 Januari lalu.

Habuan kemenangan, Asyraf membawa pulang hadiah berupa baucer beli-belah tajaan gedung maya terkemuka dunia iaitu Amazon bernilai RM2,000 dan peluang menjadi penghias halaman belakang majalah fesyen terkenal antarabangsa, Culture Magazine.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024