Pelakon Lisdawati akui berharap agar pihak stesyen televisyen tidak menayangkan drama atau filem lakonannya yang tidak bertudung sebelum ini.

Menurut Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati binti Nazaruddin , 42, dia kesal dengan perbuatan serta imejnya yang jahil sebelum ini.

“Saya hanya mampu membuat pengumuman di Instagram sebelum ini agar segala gambar atau video termasuk lakonan drama saya sebelum ini yang tidak bertudung dibuang atau dihentikan tayangannya.

“Lagipun saya tiada hak atas stesyen TV dan sebagainya kerana mereka pun ada perancangan mereka.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah dengan berdoa agar kisah lama saya yang tidak bertudung itu tidak ditayangkan. Apa yang berlaku semua pun atas izin Allah,” katanya.

Isteri kepada Fauzi Nawi itu berkata demikian selepas dihubungi Gempak berhubung apa yang ditulis di dalam Instagram baru-baru ini.

Menerusi entri tersebut Lisdawati memohon semua termasuk peminatnya untuk membuang foto lamanya yang tidak bertudung serta tidak menutup aurat.

BACA; “Hari-Hari Berdoa Supaya Cerita Lama Saya Tak Disiarkan…”- Lisdawati Buang Gambar Tidak Bertudung

Tambah Lisdawati lagi, dia kini cuba menunjukkan contoh yang baik untuk anak-anaknya dan dalam masa yang sama memperbaiki diri sebagai seorang Muslimah.

“Saya baru tersedar sekarang dan saya menyesal dengan apa yang saya telah lakukan sebelum ini.

“Saya tak mahu ia menjadi contoh tidak baut kepada anak saya. Tapi Alhamdulilah anak-anak saya memahami situasi saya setelah saya menjelaskan segalanya.

“Saya sudah 8 tahun berhijrah dan berhijab dan sejak dari itu saya cuba memperbaiki diri hari demi hari.

“Saya dapat kesedaran semua ini pun selepas menghadiri beberapa kelas agama dan ia buka hati saya untuk melakukan perubahan,”katanya lagi.

Walaubagaimanapun, Lisdawati memberitahu dia masih berlakon dan tidak menolak mana-mana tawaran jika ia sesuai dengan watak dan imejnya kini.

Sekadar info, Lisdawati dan Fauzi mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nor Aini Farhana, Nor Aina Fazneesya, Muhammad Fazreez Hazwan dan Ahmad Nur Fayyadh.