Laman Utama

Scammer Geng Marhaban, Tonjol Sisi Berbeza Kahar Projek High Council, Rupanya Amir Ahnaf Memang Lucu Bila Jadi Rider!

gempak
Mya Amri
18/04/2023
11:50 MYT
Sponsor Banner
Scammer Geng Marhaban, Tonjol Sisi Berbeza Kahar Projek High Council, Rupanya Amir Ahnaf Memang Lucu Bila Jadi Rider!
Selepas kejayaan drama bersiri ‘whodunit’ seperti The Maid dan program realiti selebriti popular The House, Gempak Originals Series kini mempersembahkan sebuah lagi drama bersiri dengan konsep yang segar dan berlainan.
Scammer Geng Marbahan membawakan genre komedi dengan tema ‘heist’ dan penipuan berlatar belakangkan komuniti di sebuah kampung.
Mempertaruhkan teraju utama pelakon muda berbakat besar, Amir Ahnaf yang popular dengan watak Kahar dari drama premium Astro Originals, High Council, drama bersiri ini diarahkan Waan Hafiz yang sebelum ini mengarahkan Gempak Original Series, Beriani Gam Kak Aspalela pada tahun lalu.
Menurut Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah, Gempak Originals komited dalam mempersembahkan konten yang bukan saja ‘gempak’ dan berkualiti tinggi, malah ianya haruslah dekat dengan masyarakat.
“Dengan kehadiran siri ini, kami berharap ia bukan sekadar memberi nilai hiburan semata-mata, tetapi menyedarkan penonton mengenai aktiviti dan taktik ‘scammer’ masih berleluasa dan muncul dalam pelbagai cara.
“Gempak Originals juga sering menampilkan bakat-bakat baru yang berpotensi besar seperti Amir Ahnaf, Lorenzo Irmann dan Qistina Khaled.
“Kami percaya pemilihan Amir sebagai tunjang utama adalah tepat pada masanya, untuk melihat sisi berbeza Amir dalam watak komedi.
“Bagi Lorenzo pula, siri ini merupakan penampilan pertama menerusi watak utama dan keserasian gandingan bersama Amir adalah salah satu kekuatan siri ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Scammer Geng Marhaban, Wann Hafiz melahirkan rasa teruja apabila siri ini akan dipersembahkan kepada penonton tidak lama lagi.
“Ini merupakan kali pertama saya mengarahkan genre heist comedy dan tentunya pengalaman saya mengarahkan drama serta filem komedi sebelum ini banyak membantu dalam menghasilkan Scammer Geng Marhaban.
“Kali ini agak lain fenomenanya kerana sebelum ditayangkan pun ramai yang sudah sedia maklum tentang drama ini sebagai contoh di platform TikTok.
“Saya juga sebenarnya terkejut kerana drama ini belum disiarkan tetapi ramai yang sudah tahu. Jadi saya anggap perkara itu sebagai sesuatu yang positif.
“Saya harap penonton akan terhibur menonton siri seperti mana saya dan semua yang terlibat teruja memberi komitmen yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Ahnaf juga turut melahirkan rasa teruja kerana dapat berlakon dalam karya komedi.
“Selepas kemunculan saya dalam High Council, watak Kahar telah memberi impak besar dalam karier saya.
“Lanjutan daripada itu, saya mengimpikan watak-watak berbeza yang mampu menampilkan sisi berbeza dan percaya watak Aidil adalah salah satu daripadanya.
“Scammer Geng Marhaban ini bagi saya cabarannya adalah berlakon ketika waktu berpuasa. Ditambah pula watak saya iaitu Aidil seorang yang sangat ceria dan aktif, memang banyak menggunakan pergerakan.
“Jadi apa yang harus saya lakukan adalah kena pandai simpan tenaga. Secara jujurnya saya sendiri seronok dapat menjadi sebahagian daripada Scammer Geng Marhaban, dengan cerita yang mencuit hati ini saya harap dapat menceriakan anda,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, watak Aidil yang dijayakan oleh Amir ini tercetus apabila pelakon tersebut membuat kemunculan istimewa sebagai ‘rider’ di Anugerah Gempak Most Wanted pada Mac lalu dan telah menjadi tular di platform media sosial.
Rentetan daripada itu, watak ‘rider’ tersebut dikembangkan dalam siri ini, sekali gus menjadikan jenama McDonald’s sebagai penaja utama siri Scammer Geng Marhaban.
Selain Amir, siri tulisan Sham Hashim ini turut dibintangi oleh wajah-wajah baru seperti pempengaruh terkenal Lorenzo Irmann dan Qistina Khaled di samping pelakon berpengalaman seperti Ozlynn, Watie Sadali dan Che Kem. Turut membuat penampilan istimewa Raja Azura dan Zahid AF.
Sesi penggambaran telah dijalankan di Sekinchan, Kuala Selangor selama 17 hari.
Saksikan Scammer Geng Marhaban bermula 4 Mei di Astro Ria, saluran 104, setiap hari Khamis, jam 11 malam.
Penonton juga boleh saksikan secara strim di platform Astro GO ataupun On Demand.
Ikuti Instagram, TikTok, Twitter, YouTube dan Facebook Astro Gempak atau layari gempak.com untuk ‘digital extension’ siri ini secara ekslusif selain paparan klip-klip menarik Scammer Geng Marhaban.
Sinopsis:
Drama bersiri lapan episod ini mengisahkan dua adik beradik yang tidak sehaluan, Aidil dan Adib. Namun apabila ibu mereka Hjh Quyah telah terjerat dalam kegiatan ‘scam’ ketika cuba mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Marhaban, Aidil dan Adib cuba mencari dalang yang telah menipu ibu mereka.
Sepanjang memburu ‘si scammer’, banyak insiden yang berlaku termasuklah jerat percintaan di antara Aidil dan Adib terhadap seorang gadis.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live