Pelawak dan penyampai radio ERA, Namie menegaskan insiden jatuh pengsan ketika siaran langsung program komedi Ubi Superstar Live pada Khamis bukanlah disebabkan kepenatan.

Sebaliknya disebabkan pendarahan yang berlaku pada bahagian hidungnya selepas terhantuk kepala rakan pelakon jemputan iaitu Fadhli Masoot

“Sebelum siaran langsung, kami memang sudah melakukan sesi latihan sebanyak tiga kali. Tapi benda dah nak jadi, saya pun tak sangka kejadian ini berlaku.

“Ada yang cakap saya pengsan kerana penat, sebenarnya bukan pun. Tidak ada kena mengena, sebab kita dah buat program ini setiap minggu.

“Kita sudah susun jadual baik-baik, saya pun tahu tahap energi saya macam mana. Saya memang pengsan disebabkan hentakan dan juga pendarahan dalam hidung.

“Alhamdulillah kondisi saya okay, dah boleh bangun dan bergerak. Cuma kalau masih lagi ada lagi darah baru pergi dapat rawatan susulan.

“Untuk minggu hadapan, saya tetap akan meneruskan persembahan seperti biasa. Tetapi bila dah jadi kejadian begini, saya dapat sedikit pengajaran.

“Terus terang saya katakan bila berada atas pentas itu saya terus pegang watak dan bukan jadi Namie,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam pada itu, Namie juga memohon agar orang ramai tidak menyalahkan rakan pelakon lain iaitu Fadhli, Fad Bocey dan Syarif Zero atas kejadian itu.

“Bagi saya memang tidak patut salahkan rakan lakonan, tiada istilah saya mahu back up kawan atau pun diri sendiri.

“Saya sendiri pun tak sangka akan berlaku kejadian itu, kalau boleh saya pun tak nak berdarah darah begini,” jelasnya.

Terdahulu, insiden Namie jatuh pengsan semasa program itu berlangsung telah mencetuskan kebimbangan peminat.

Lebih-lebih lagi apabila berlakunya pendarahan pada bahagian hidungnya selepas terantuk kuat.