Tampil dengan lagu terbaharu, penyanyi muda Sebrian Shah mengakui karya Damba merupakan hasil karya yang sangat personal.

Jelas Sebrian, 25, lagu terbabit sangat berat dari segi emosi dan teknikaliti selain memberikan gambaran yang
jelas tentang perasaan yang rumit dalam hubungan percintaan.

"Seperti penyanyi lain, sudah tentu lagu yang akan dinyanyikan perlu dekat dengan diri penyanyi itu sendiri. Damba adalah kesinambungan kepada lagu saya yang pertama iaitu Maafkan yang telah dilancarkan beberapa bulan lepas.

"Fahaman tentang lagu ini berkisahkan seorang lelaki yang telah kehilangan wanita yang dicintai dan mendambakan percintaan itu semula. Akan tetapi jika dihayati dengan teliti, lagu ini bukanlah kisah cinta kepada manusia semata.


"Pendengar harus mendengarkan lagu ini sendiri untuk mengetahui makna tersirat yang cuba disampaikan," ujarnya.

A post shared by SS (@sebrianshah)

BERITA TRENDING: Sebrian Shah Hilang 4 Ahli Keluarga, Lagu Maafkan Rasa Lebih Hiba! - "Masa Tak Boleh Putar Balik"

Shoot dalam air

Selain dengan genre pop rock, Damba ciptaan Emeer Bakri dan Amsyar Razqa juga menampilkan konsep muzik video di dalam air seperti yang dirancang sejak tahun lalu.

"Kali ini masa yang diambil untuk menyiapkan lagu ini teramatlah sekejap. Proses rakaman dijalankan kurang 3 jam. Mungkin kerana saya sudah selesa dengan komposer lagu ini, jadi kerjasama antara kami terjadi lebih mudah.

"Keunikan yang dibawa dalam music video Damba adalah rakaman yang dilakukan di dalam air di mana konsep ini telah dilakar sejak November 2023.

"Kali ini proses rakaman walaupun ringkas, ia teramatlah mencabar di mana team saya menyediakan kolam di dalam studio sepanjang 5 meter untuk menyesuaikan ketinggian saya supaya tidak kelihatan janggal. Sepanjang rakaman saya menggigil kesejukan, kerana rakaman di dalam air tersebut mengambil masa hampir 4 jam dari jam 9 malam sehingga 1 pagi.

"Namun, hasil keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan team saya yang telah bekerja keras dalam merealisasikan visi saya untuk music video (MV) ini," katanya.

Lagu Damba - Sebrian Shah, dibawah naungan Armani Entertainment Group (AEG) ini boleh didengari dan dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music dan musik video boleh ditonton eksklusif di saluran YouTube Armani Entertainment.