Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh di sini mengambil masa hampir satu jam bagi menaikkan wau gergasi seberat 100 kilogram sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Kegigihan 861 warga sekolah itu sebagai tanda menyemarakkan semangat patriotik yang menaikkan wau setinggi 61 kaki dan lebar 57 kaki di padang sekolah berkenaan bermula jam 12.30 pagi dan berjaya ditegakkan jam 1.30 tengah hari.

Guru besarnya, Che Hassin Isa berkata, ketinggian wau itu diukur mengikut tahun sambutan kemerdekaan manakala lebarnya 57 kaki sempena negara merdeka pada tahun 1957.

Katanya, pihaknya mengambil masa dua minggu bagi menyiapkan replika gergasi itu yang diperbuat daripada 35 rangka buluh muda, 150 helai bendera Malaysia bersaiz besar dengan berat mencecah 100 kilogram.

"Wau dijadikan replika sempena sambutan hari merdeka kerana simbolik kepada permainan tradisional masyarakat Kelantan dan menjadi budaya Malaysia.

"Wau ini akan didirikan selama sebulan bermula hari ini sehingga 16 September depan sempena Hari Malaysia," katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Apa yang menarik struktur wau gergasi itu turut dijahit tangan dengan dibuat secara bergotong-royong pihak guru, murid, pekerja sekolah, penduduk kampung dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dengan memperuntukkan lebih empat jam sehari bagi menyiapkan replika itu.

Che Hassin berkata, simbolik menaikkan replika gergasi sudah menjadi amalan sekolah itu sejak sambutan merdeka tahun 1970 lagi iaitu pada sambutan kemerdekaan kali ke 48 tahun.

Sejak itu, pihak sekolah meneruskan tradisi berkenaan meskipun bukan setiap tahun dan kali ini sudah kali kelima membina replika gergasi setiap kali sambutan bulan Ogos.

"Kita pernah buat bunga raya, keris dan tiga kali buat replika wau semuanya bersaiz gergasi dan diletakkan di padang sekolah kerana kami mahu menyebarkan semangat cintakan negara bersesuaian dengan kedudukan padang sekolah yang terletak di tepi jalan besar Kota Bharu ke Machang, jadi dapat menarik perhatian masyarakat dengan cara sambutan merdeka yang unik," katanya.

Katanya, kos pembinaan wau gergasi itu menelan belanja RM800 selain turut dibantu pihak ibubapa yang turut menyumbangkan wang tunai dan tenaga.

Beliau berkata, sambutan unik itu juga diharap dapat dijadikan tradisi tahunan sebagai lambang kebanggaan memandangkan sekolah itu juga telah dibina empat tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan iaitu dibina pada tahun 1953.


Sumber: Astro Awani