Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dibuka mengikut takwim 2021 seperti diumumkan sebelum ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan dibuat dengan mengambil kira keperluan anak-anak mengikuti pelajaran dalam situasi semula jadi di sekolah.

Selain itu, beliau berkata, pembukaan institusi pendidikan swasta dan antarabangsa berdaftar dengan KPM bagi 2021 adalah tertakluk kepada kalendar akademik institusi terbabit.

"Bagi yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) pula, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membenarkan pelajar tempatan kembali ke kampus secara berfasa.

"Bagi IPT di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing," katanya ketika Perutusan Khas Sempena Tahun Baharu 2021 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, pada malam Khamis (semalam).

Muhyiddin berkata, kerajaan sedang berusaha memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat daripada ancaman Covid-19.

"Namun, kita sendiri perlu bertanggungjawab dan berwaspada kerana virus ini sudah berada dalam komuniti di sekeliling kita.

"Insya-Allah berbekalkan pengalaman 2020, kita semua mampu memastikan situasi pandemik terus terkawal," katanya.

Sumber: Harian Metro