Selepas 10 tahun, pelakon dan pengarah Khir Rahman muncul dengan naskhah terbaharu iaitu filem komedi berjudul Arwah Pak Mat, Lif & AJK.

Menurut Khir Rahman, jalan cerita filem tersebut sangat santai namun masih mempunyai pengajaran selain mengangkat nilai hidup yang ada dalam komuniti.

“Selepas 10 tahun saya kembali dengan filem arahan terbaru iaitu Arwah Pak Mat, Lif & AJK. Kali ini saya tampilkan sebuah karya bergenre komedi satira.

“Meskipun padat dengan komedi serta jalan cerita yang santai namun istimewanya naskhah ini saya cuba mengangkat tentang nilai hidup berkomuniti dan ada pengajaran yang cuba disampaikan.

“Antaranya mengingatkan kesedaran tentang hidup majmuk dan mengambil berat tentang jiran tetangga. Dan dalam keadaan masyarakat sekarang ini, sentiasalah bersapa dan membantu antara satu sama lain agar tiada yang rasa keseorangan.

“Saya harap, kehadiran filem ini mampu menarik perhatian penonton untuk terus kekal dirumah dan menikmati hiburan filem ini bersama keluarga mahupun orang terdekat,” jelasnya.

Dalam pada itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, mereka sentiasa berusaha untuk menyediakan dan mengetengahkan bakat-bakat kreatif tempatan untuk ditonjolkan

“Dalam situasi negara sekarang ini, penonton banyak menghabiskan masa di rumah dan kami yakin mereka inginkan filem yang mampu membuatkan mereka keluar seketika dari tekanan dan berhibur serta ketawa bersama keluarga mahupun teman.

“Memahami kehendak penonton, kami terus memainkan peranan dengan membawakan filem-filem dengan pelbagai genre dalam memberi pilihan kepada mereka, dan salah satunya adalah jalan cerita yang santai dengan menyelitkan elemen komedi untuk tontonan.

“Bukan itu sahaja, malah kami di Astro Shaw juga sentiasa berusaha menyediakan dan mengetengahkan bakat-bakat kreatif tempatan untuk ditonjolkan.

“Kali ini kami membawakan karya bintang berbakat besar, Khir Rahman untuk dipersembahkan kepada umum.

“Kami berharap kelainan dan sentuhan beliau yang tersendiri turut mampu memberikan kepuasan berbeza kepada penonton,” ujarnya.

Filem terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd ini dibintangi oleh Joey Daud, Ropie, Taukeh Jambu, Jalil Hamid, Anas Ridzuan, Man Raja Lawak, Sathia, Douglas Lim, Wan Gegau, Nizam Jentik-Jentik, Souya, Che Mat, Kimmy Low, Shendo Kiut, Shiela Mambo dan Wafariena.

Istimewanya, kali ini penonton bakal menyaksikan sisi berbeza Joey Daud menerusi karakter Nordin. Meskipun filem ini ditampilkan dalam genre komedi, namun penyampaian karakter Nordin dilihat lebih serius.

Filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK ini dibawa terus ke Pawagam Rumah Anda, oleh Astro Shaw menerusi Astro First, saluran 480, bermula 10 Jun ini (esok).

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.